Bahasa Melayu: Jangan berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi
BANGI, 6 Zulkaedah 1438H, Ahad – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dinasihatkan supaya tidak hanya berkokok berderai-derai, ekor bergelumang dengan tahi, dalam isu memartabatkan bahasa Melayu.
Mengulas jaminan Najib untuk mengangkat tinggi bahasa Melayu sehingga ke taraf supranasional, kolumnis Sinar Harian – Tok Perak – berkata, memang sedap bercakap mengenai impian bahasa Melayu menjadi bahasa Asean, supranasional, bertaraf universal, persada antarabangsa, dan istilah-istilah hebat lain.
“Meremang bulu roma mendengar kata-kata bersemangat dan berkobar-kobar daripada pimpinan tertinggi negara dan pemimpin tertinggi parti terbesar Melayu @ Umno.
“Harap-harap apa yang dikobar-kobarkan oleh PM dan Presiden Umno jangan hanya seperti kata pepatah ‘kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’,” katanya menulis dalam akhbar itu semalam.
Memuji azam Najib untuk memperkasa bahasa Melayu, beliau berkata, memang mudah untuk bercakap mengenai bahasa Melayu tetapi, hakikatnya ialah bahasa Melayu sekarang terpinggir di negara sendiri.
“Jangan kata hendak jadi bahasa Asean, hendak jadi bahasa Kuala Lumpur pun macam tidak terdaya, sebab orang KL lebih suka cakap orang putih.
“Mudah bercakap untuk memperkasa bahasa Melayu. Tetapi hakikatnya ialah bahasa itu telah ‘diperkosa’ oleh bahasa Inggeris, bahasa rojak, bahasa siber, dan bahasa-bahasa lain.
“Malang sekali apabila yang turut ‘memperkosa’ bahasa Melayu adalah pemimpin Melayu sendiri, yang lebih suka bercakap Inggeris. Hatta, taklimat dan mesyuarat kerajaan pun guna bahasa Inggeris,” katanya.
Tok Perak berkata, pejuang bahasa kini tidak berani lagi bercakap mengenai memartabatkan bahasa Melayu, kerana semua orang tahu bahasa itu telah ‘dimurtabakkan’ sehingga menjadi caca-marba.
The post Bahasa Melayu: Jangan berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan