Bank Negara saran pemusatan kuasa terajui inisiatif rumah mampu milik

KUALA LUMPUR, 12 Syawal 1438H, Khamis – Bank Negara Malaysia (BNM) menyarankan kewujudkan satu pihak berkuasa pusat bagi menerajui, menyelia dan menyelaras inisiatif perumahan mampu milik untuk negara, khususnya dalam merangsang kesatuan operasi dan strategi yang lebih luas pada peringkat nasional.

Menurut Timbalan Gabenor, Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, kewujudan satu dasar awam yang kukuh, inovatif dan terselaras adalah penting untuk menangani cabaran perumahan mampu milik.

“Antara lain, pihak berkuasa ini dengan kajian serta kemas kini, mampu membantu mengawal keadaan yang akan melonjakkan kos pembekalan rumah mampu milik.

“Ia juga boleh menerajui komunikasi yang lebih efektif dan membina kerjasama yang kuat dengan rakan-rakan kongsi utama bagi memajukan agenda perumahan mampu milik,” katanya pada Dialog Pembangunan Mampan Rumah Mampu Milik di Sasana Kijang, BNM, semalam.

Banyak yang boleh dibuat untuk meningkatkan kesedaran termasuk kadar ambilan bagi program bantuan kewangan yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti Skim Rumah Pertamaku, Skim Jaminan Kredit Perumahan, Skim Deposit Rumah Pertama dan Skim Pembiayaan Fleksibel untuk pembeli rumah PRIMA.  

Dialog tersebut dikendalikan oleh Pengerusi Cagamas Holdings Bhd Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dan menampilkan wakil Bank Dunia, Abhas K. JHA, Pengurus Amalan, Perbandaran dan Pengurusan Risiko Bencana  Asia Timur dan Pasifik, Datuk Abdul Rahim Ishak serta Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk Abdul Rahim Ishak.

Peserta lain termasuk Pengarah Eksekutif Khazanah Nasional Bhd/Pengarah Urusan Institut Penyelidikan Khazanah Datuk Charon Mokhzani dan Ketua Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Pembeli-pembeli Rumah Kebangsaan Malaysia Chang Kim Loong.

Mereka berkongsi pandangan dan pengetahuan ke atas subjek-subjek seperti perspektif global mengenai peruntukan perumahan mampu milik, inisiatif dan wawasan kerajaan Malaysia, kajian kes termasuk cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pembeli rumah kali pertama.

Kerajaan adalah komited untuk membina kira-kira 1,287,532 unit rumah mampu milik pada tahun 2017. Sepanjang dialog, isu-isu utama dan cabaran dalam perumahan mampu milik telah dikenalpasti.

Antara idea yang terpenting ialah keperluan bagi mewujudkan satu dasar awam yang kukuh, inovatif dan terselaras untuk menangani cabaran sedia ada.

Ini perlu ada pada pihak berkuasa pusat yang menerajui, menyelia dan menyelaras inisiatif perumahan mampu milik negara, kata Cagamas Holdings, penganjur dialog, dalam satu kenyataan hari ini.

Adalah dipersetujui bahawa dasar kerja yang baik mengenai perumahan mampu milik harus merangkumi sumber-sumber awam yang disasarkan, penyertaan oleh sektor swasta serta persekitaran kawal selia yang telus dan pantas.

Reka bentuk kawasan kejiranan dan perbandaran adalah penting, sebagai contoh, sesuatu bandar itu tidak sepatutnya didiami oleh hanya kumpulan berpendapatan  tinggi  dan inisiatif seperti program Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) harus dipertingkatkan untuk mencipta pelbagai golongan di bandar dan kota raya.

Skim Sewa Untuk Dimiliki (RTO) harus dipertimbangkan dalam dasar perumahan, memandangkan dalam keadaan semasa, pendapatan B40 dan M40 tidak akan mampu memiliki rumah berikutan harga yang semakin melambung.

Satu pasukan petugas khas bagi pembangunan mampan perumahan mampu milik, perlu mengandungi elemen daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Majlis Perbandaran, agensi-agensi pelaburan negeri, institusi-institusi kewangan, pemaju perumahan seperti Sime Darby, SP Setia, MRCB dan peneraju lain termasuk BNM, Cagamas, KWSP serta Khazanah.

Pasukan petugas itu perlu bekerjasama dalam membentuk penyelesaian yang inovatif bagi menangani isu-isu yang ada. Sebagai contoh, ia boleh meninjau ke dalam permasalahan rumah siap yang tidak terjual, pematuhan pemaju perumahan, keberkesanan Pusat Sehenti serta menghapuskan rintangan-rintangan untuk pemilikan rumah.

Mengikut peraturan, kerajaan mahu pemaju yang menjalankan Projek Perumahan Rakyat untuk menggunakan Sistem Bangunan Berindustri sebanyak 70 peratus dalam peringkat pembinaan. Bagaimanapun, garis panduan tersebut adalah tidak mendalam bagi pembangunan dalam sektor swasta.

Perbincangan itu juga mengenalpasti keperluan untuk mengadakan sebuah pusat repositori sebagai satu cara sistematik untuk memantau serta menguruskan permintaan dan penawaran perumahan mampu milik, termasuk menyediakan akses kepada mereka yang mahu membeli atau menyewa rumah.

Ia juga menyimpulkan bahawa usaha-usaha hendaklah dibuat untuk meningkatkan peluang penyelesaian yang berpotensi dan pengurusan projek melalui kajian pelbagai kes yang merangkumi kejayaan pembangunan dari rantau yang lain.

Ini dibuat secara bersama-sama dengan membangunkan pasaran sewa yang berkembang maju bagi mengurangkan jurang penawaran-permintaan untuk perumahan mampu milik dengan mengukuhkan rangka-kerja undang-undang dan institusi yang mendasari pasaran sewa. – Bernama

The post Bank Negara saran pemusatan kuasa terajui inisiatif rumah mampu milik appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian