Dunia Islam kutuk tindakan Israel tutup masjid Al Aqsa
JERUSALEM, 21 Syawal 1438H, Sabtu – Dunia Islam mengecam tindakan Israel baru-baru ini, menutup dan menghalang penduduk Palestin menunaikan solat Jumaat di masjid Al Aqsa di Timur Jerusalem.
Kecaman itu termasuklah kejadian menembak mati tiga rakyat Palestin di luar Masjid Haram al-Sharif yang juga menyebabkan dua pegawai polis Israel maut.
Liga Arab memberi amaran terhadap tindakan Israel menutup masjid Al Aqsa dan menghalang umat Islam daripada menunaikan solat Jumaat.
Organisasi itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat berkata, langkah itu akan menjejaskan proses perdamaian di rantau berkenaan.
Kenyataan itu turut menggesa Israel segera membuka semula Al Aqsa dan mengelakkan sebarang usaha yang mengubah status bersejarah masjid itu.
Turut sama mengecam tindakan rejim berkenaan, Jordan yang berfungsi sebagai penjaga Al-Aqsa mendesak pembukaan semula masjid itu kepada rakyat Palestin.
“Jordan menolak sebarang serangan ke atas hak-hak umat Islam,” kata jurucakapnya, Mohamad Momani dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Luar Qatar mengkritik penutupan masjid Al Aqsa oleh rejim dan menyifatkan ia sebagai pelanggaran berat terhadap tempat suci umat Islam.
Kementerian itu dalam satu kenyataan menyeru masyarakat antarabangsa bertanggungjawab untuk menghentikan pelanggaran Israel itu.
Sementara itu, Kementerian Luar Turki meluahkan kekesalan terhadap kejadian itu dan menganggap semua pihak dan perundangan menghormati kesucian dan status tapak bersejarah di Timur Jerusalem.- Agensi
The post Dunia Islam kutuk tindakan Israel tutup masjid Al Aqsa appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan