Insentif peneroka Felda sebenarnya pinjaman, bukan bonus, kata Kadir Jasin

BANGI, 2 Zulkaedah 1438H, Rabu – Baguslah peneroka Felda mendapat durian runtuh. Tetapi siapa yang membiayainya? Silap-silap peneroka sendiri yang berhutang untuk membiayai insentif itu. Demikian kata, Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin mengulas enam insentif diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 23 Julai lalu.

Menjelaskan telahan beliau itu, Kadir berkata, oleh kerana kedudukan kewangan Felda, khususnya dan Kerajaan Pusat amnya, lemah longlai, adalah mustahil insentif itu diberikan sebagai bonus atau habuan, tetapi lebih berupa pinjaman yang secara tersirat atau tersurat terpaksa dibayar balik oleh penerima.

Katanya, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad sendiri mengaku bahawa Felda kekurangan belanjawan sebanyak RM1 bilion sejak tahun 2015 yang bermakna pendapatan agensi itu kurang RM1 bilion daripada perbelanjaan.

“Jadi dalam keadaan di mana kerajaan dan Felda tidak ada duit untuk diboroskan, jelaslah bahawa insentif yang dijanjikan itu tidak lain tidak bukan adalah untuk tujuan politik kepartian, iaitu menyogok peneroka dan ahli keluarga mereka agar menyokong Umno/BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Sogokan ini adalah pengakuan mutakhir Najib dan konco-konco beliau bahawa Umno/BN bukan lagi pilihan eksklusif di rancangan-rancangan Felda, khususnya dan di kawasan luar bandar, amnya.

“Secara terang-terangan Najib memberi gambaran bahawa ini adalah pemberian bersyarat apabila beliau berkata 20,000 peneroka bebas yang tidak termasuk dalam senarai penerima boleh dipertimbangkan dengan syarat kembali ke pangkuan Felda, iaitu kembali setia kepada Umno/BN,” katanya hari ini

Katanya, UMNO dan Barisan Nasional (BN bukan lagi parti yang membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat, sebaliknya menjadi parti yang membebankan mereka dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kenaikan kos sara hidup, pengangguran, pemotongan biasiswa, penghapusan pinjaman pengajian tinggi dan pengurangan kemudahan rawatan di hospital kerajaan.

Bekas Ketua Pengarang New Straits Times itu berkata, UMNO dan BN adalah parti yang mencipta 1MDB bagi memperkayakan Jho Low, Riza Abdul Aziz, Tim Leissner dan gerombolan mereka dan membebankan rakyat jelata serta negara dengan hutang paling besar dalam sejarah.

“Kita yang faham keadaan sebenar ekonomi negara dan bebannya kepada rakyat jelata tidak akan menyalahkan peneroka dan sesiapa saja yang teruja dan berasa amat gembira dengan sogokan yang dilabelkan sebagai insentif, bonus dan bantuan itu.

“Pokok pangkalnya itu lah yang akan terjadi apabila kerajaan Umno/BN menggagalkan ekonomi negara dan memiskinkan rakyat jelata. Rakyat jelata yang dulu senang, selesa dan berkeyakinan hari ini menjadi pengemis yang mengharapkan sedekah dan bantuan.

“Soalnya, adakah cukup dan memadai bantuan bermusim ini atau kita berusaha memulihkan ekonomi kita dan ekonomi negara kita agar menjadi lestari semula? Kalau pilihan kita adalah yang kedua, maka kita perlu menolak kerajaan kleptokrat Unmo/BN yang mencuri harta rakyat jelata,” katanya.

KLIK UNTUK MENYUMBANG

Sehubungan itu, Kadir mempertikaikan dari mana datang peruntukan ‘durian runtuh’ untuk peneroka dan rakyat miskin ini kalau tidak daripada hutang dan perahan hasil daripada syarikat serta tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLC/GLIC)? 

“Inilah yang saya tulis dan sebut berulang kali sebagai punca kebimbangan yang amat sangat bahawa kerajaan kleptokrasi yang ketandusan wang ini akan berhutang lagi dan memerah duit GLC/GLIC. Tanpa hutang baru pun, hutang kerajaan pusat sudah melambung kepada RM833.75 bilion pada tahun 2015, iaitu paras paling tinggi dalam sejarah negara.

“Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib adalah “bapa hutang negara”. Di bawah kelolaannya, hutang kerajaan naik kepada RM376.39 bilion pada tahun 2009 berbanding RM317.44 bilion yang ditinggalkan oleh (Tun) Abdullah Ahmad Badawi dan RM188.79 bilion oleh Tun Dr Mahathir,” katanya.

Kerana itu juga, katanya, beliau bimbang syarikat milik Permodalan Nasional Berhad (PNB), khususnya Maybank, akan dijadikan sasaran kerana mereka masih mempunyai rizab yang banyak.

Najib, katanya, tidak berani lagi menjadikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai harta karun setelah meminjam RM25 bilion untuk syarikat misteri – Pembinaan PFI Sdn Bhd.

“Apatah lagi meminjam daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (pencen kakitangan awam) setelah mengaut RM4.4 bilion untuk sebuah lagi syarikat misteri bernama SRC International Sdn Bhd.

“Begitu juga daripada Tabung Haji yang telah diperah untuk membiayai kegiatan 1MDB dan menyokong terbitan awam permulaan (IPO) FGV pada tahun 2012. Jadi yang mungkin menjadi sasaran adalah syarikat-syarikat PNB dan GLIC milik Khazanah Nasional Berhad.

“Inilah yang ditakuti dan wajib diawasi dengan serapi-rapinya kerana kerajaan kleptokrasi yang mencuri ini mungkin terus menggali sumber GLC dan GLIC bagi menampung perbendaharaan yang semakin kering” katanya.

The post Insentif peneroka Felda sebenarnya pinjaman, bukan bonus, kata Kadir Jasin appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?