Isu nasab anak luar nikah: Tanggunglah sendiri jika enggan ikut hukum Islam, fatwa

AMAT jelas sekali kepada kita kenyataan tegas daripada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa hukum Islam tetap hukum Islam, yang wajib dipatuhi semua umat Islam. Tak kiralah rakyat biasa, pemimpin, presiden, perdana menteri, hakim, peguam, tok imam atau ulama, hatta raja sekalipun.

Apabila turunnya hukum-hukum daripada Allah Tuhan Yang Maha Berkuasa, maka terpadamlah segala yang batil. “Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap”. (Surah Al-Asra’ ayat 81)

Pedang memahami kenyataan Harussani itu bahawa biarlah apapun undang-undang, keputusan mahkamah atau peraturan dunia yang dibuat, hukum Islam tetap wajib dipatuhi. Tetapi jika enggan mengikutinya, maka tanggunglah sendiri, kerana nasihat sudah diberikan.

Lagipun, pada zaman sekarang ini ramai yang tidak mampu mengubah kemungkaran dengan tangan, lebih banyak yang menggunakan lisan dan hati. Kalau kita mengubah kemungkaran menggunakan tangan, nanti kita digelar ekstremis, militan atau pengganas.

Demikianlah selemah-lemahnya iman, maka kita menggunakan lisan dan hati supaya kemungkaran itu dapat dihapuskan. Justeru, Pedang mengambil kesempatan ini untuk menggunakan lisan dan hati menasihatkan diri sendiri dan umat Islam supaya mengutamakan hukum dan peraturan Islam terlebih dahulu dalam segenap cara hidup kita. Perlu diingat ada hukum yang jika ditinggalkan maka berdosalah kita, dan ada yang diberi ganjaran pahala.

Kekuatan yang haq berawal dengan asma dan kalimat Allah dan sesuatu yang tiada daripadanya adalah batil. Kekuatan yang batil itu jika pun ada hanyalah relatif. Bahkan kekuatan palsu itu berasal daripada syaitan. Bila bertembung dengan yang haq, maka hancur leburlah yang batil.

Demikianlah, kehidupan kita di dunia, khususnya di negara ini yang tiang serinya adalah Perlembagaan Malaysia. Di dalamnya turut termetri kalimah bahawa Islam adalah agama Persekutuan.

Yang Dipertuan Agung dan raja-raja mengetuai segala urusan berkaitan Islam. Baginda menurunkan kuasa kepada yang arif atau ulama bagi melaksanakan apa sahaja urusan berkaitan Islam, termasuk mengeluarkan fatwa. Sebab itu dalam mewartakan sesuatu fatwa atau undang-undang akan disebut “….atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan….”.

Begitu juga fatwa yang diwartakan terhadap Sisters In Islam (SIS) oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor pada Julai 2014. Fatwa itu melabelkan SIS dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Sesungguhnya, SIS langsung tidak ada kewibawaan untuk mengeluarkan bukan sahaja fatwa, malah pendapat mengenai sebarang isu berkaitan Islam, kerana, sebagaimana dikatakan Majlis Agama Islam Selangor, kumpulan ini adalah sesat dan menyeleweng daripada Islam.

Lantaran itu, kenyataan terbaharu mereka mengenai nasab anak luar nikah, sebagai mengulas keputusan Mahkamah Rayuan, boleh dibakulsampahkan. Rakan Pedang kata, “dengar boleh, percaya jangan dengan SIS ni”. Tapi Pedang balas: “Dengar pun jangan”.

Sememangnya ramai yang terperanjat dengan keputusan Mahkamah Rayuan 25 Julai lalu yang membenarkan anak luar nikah dibin atau dibintikan dengan nama bapa biologinya. Demikian juga Harussani yang terperanjat dengan keputusan ini lantas menegaskan bahawa hukum Islam tetap hukum Islam dan ia wajib dipatuhi seluruh umat Islam, sekalipun undang-undang dunia menolaknya.

Pedang bukan hendak mempertikaikan keputusan Mahkamah Rayuan itu, apalagi kewibawaan panel tiga hakim yang arif berkaitan undang-undang yang bukan daripada kalimah Allah. Begitu juga Harussani dan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH). Tetapi, mereka bercakap mengenai fatwa yang sudah dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan pada peringkat negeri.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke 41 yang bersidang pada 25 Jun 1998, antara lain menyebut:

1. Jika seorang perempuan Melayu Islam bersekedudukan tanpa nikah, samada dengan lelaki Islam atau lelaki bukan Islam dan melahirkan anak, maka anak itu hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama “Asma` al-Husna” berpangkalkan Abdul;

2. Seorang anak tak sah taraf atau anak luar nikah tidak wajar dibin atau dibintikan kepada ibu anak tersebut kerana ini mungkin boleh menimbulkan masalah sosial dan kesan psikologi kepada kanak-kanak itu. Oleh yang demikian anak tersebut dibin atau dibintikan kepada Abdullah atau lain-lain nama “Asma al-Husna” berpangkalkan Abdul; dan

3. Seseorang anak yang dijumpai terbiar atau anak pungut yang tidak diketahui asal usulnya hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah , dan jika nama Abdullah bersamaan dengan orang yang memelihara anak itu maka bolehlah dipilih nama “Asma al-Husna” lain yang berpangkalkan Abdul seperti Abdul Rahman dan Abdul Rahim.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada sidang yang sama bagaimanapun memutuskan:

“Anak tak sah taraf tidak terputus hubungan keturunan dengan ibunya . Oleh itu kedua-duanya boleh mewarisi pusaka antara satu sama lain. Jika ibu meninggal dunia, maka dia berhak mewarisi pusaka ibunya bersama-sama ahli waris yang lain. Begitu juga sekiranya anak tak sah taraf itu meninggal dunia terlebih dahulu, ibunya berhak mewarisi pusaka ”.

“Seseorang anak tak sah taraf adalah terputus hubungan daripada segi pusaka dengan bapanya tak sah taraf dan dia tidak menjadi ahli waris dan tidak berhak mewarisi pusaka bapanya dan sebaliknya.”

Fatwa (futya) diberikan bagi maksud menjawab sesuatu hal yang menjadi kemuskyilan umat Islam dari segi syarak. Fatwa biasanya dikeluarkan oleh ulama atau mufti yang berwibawa dan diiktiraf, menerusi istinbat yang dilakukan.

Dan, amatlah menyedihkan apabila Mahkamah Rayuan mengatakan bahawa fatwa yang dikeluarkan sebuah badan agama tidak mempunyai kuasa undang-undang melainkan fatwa itu diterima atau diguna pakai sebagai undang-undang Persekutuan menerusi Parlimen, yang mana fatwa menjadi sebahagian undang-undang Persekutuan tanpa perlu melalui proses perundangan.

Mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan itu juga, Pengerusi UMMAH, Aminuddin Yahaya menegaskan bahawa penetapan nasab seseorang anak bagi menentukan sama ada sah atau tidak tarafnya, bukan bertujuan menghukum anak itu atas dosa yang dilakukan ibu bapanya sekiranya anak itu tidak sah tarafnya.

Sebaliknya kata beliau, tindakan itu bertujuan menjaga kesucian dan keutuhan nasab dan keturunan, yang telah dirumuskan oleh ulama sebagai termasuk salah satu daripada matlamat atau maqasid syariah.

“Keutuhan nasab amat penting untuk dipelihara, kerana akan memberikan implikasi dan kesan yang menjangkau terhadap aspek-aspek hukum syara’ berkenaan pembahagian harta pusaka, perwalian, pernikahan, hukum-hakam berkaitan mahram, dan lain-lain lagi,” katanya.

Pedang yakin, perayu yang menang dalam kes ini sudah lebih dahulu diberi nasihat kenapa anak itu tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada bapa biologinya. Dan, terpulanglah kepada perayu kes itu sama ada hendak mendengar cakap ulama atau tidak. Seperti yang Pedang kata tadi, nasihat dengan lisan dan hati sudah diberi.

Rujuklah permasalahan berkaitan agama dengan ulama yang diiktiraf, berwibawa, bukan dengan ustaz Facebook atau ustaz-ustaz yang di dalam hati mereka ada buruk sangka kepada ulama atau mufti yang lebih hebat daripada mereka.

Pedang kenal seorang ustaz berpuluh tahun belajar ilmu hadis, belum sampai tahap ulama. Kalau Pedang tanya sesuatu masalah yang tiada dalam pengetahuannya atau beliau kurang pasti untuk memberi jawapan serta-merta, beliau akan meminta tempoh kerana untuk mengkaji dan merujuk kepada kitab.

Bukan seperti sesetengah ustaz sekarang yang apabila ditanya sesuatu hukum, terus diberikannya jawapan, walaupun dia tidak belajar mengenai hukum itu, hingga habis kacau bilau Islam dibuatnya.

Justeru, kita tunggulah edisi berikutnya selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memfailkan permohonan untuk kebenaran merayu kepada mahkamah tertinggi di negara ini – Mahkamah Persekutuan – selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu.

Dan, disebabkan isu perundangan berkaitan nasab turut mempunyai kesan yang menjangkau pentadbiran undang-undang syariah di peringkat negeri-negeri, Pedang bersetuju apabila UMMAH menggesa majlis agama Islam di semua negeri membantu merungkaikan isu ini dengan cara membuat permohonan bagi menjadi pencelah dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Sebagaimana kata Aminuddin, hujahan dan input daripada pihak yang berautoriti dalam bidang agama akan dapat membantu pihak mahkamah untuk memberikan keputusan yang lebih menyeluruh, demi kepentingan keadilan.

Namun, yang jelas, ada dalil kukuh Islam melarang seseorang anak yang dilahirkan dengan cara yang tidak menepati syariat Islam tidak boleh disabitkan nasabnya dengan bapa biologinya. Maknanya, tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapa biologinya.

Kata Pedang: Jangan pula selepas gembira dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu, kemudian timbul masalah lain, lalu menyalahkan Islam.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

The post Isu nasab anak luar nikah: Tanggunglah sendiri jika enggan ikut hukum Islam, fatwa appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?