Jangan henti elaun guru pelatih: I-Guru

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 21 Syawal 1438H, Sabtu – Kementerian Pendidikan Malaysia digesa untuk menilai semula keputusan memberhentikan elaun sara hidup dan perjalanan kepada guru pelatih yang tidak mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP), berkuat kuasa Jun tahun depan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, pendidikan negara perlu diberi pembelaan dan kebajikan guru pelatih seharusnya dijaga demi kelangsungan sektor itu pada masa depan.

“Pemberhentian ini akan dilihat sebagai usaha mengecilkan bidang perguruan sekaligus dianggap bidang yang kurang penting kepada pihak kerajaan.

“Jika sekiranya pemberhentian ini dilaksanakan, pihak KPM perlu meningkatkan tawaran penajaan biasiswa dan kos pengajian kepada yang belajar bidang pendidikan,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.

Sehubungan itu, iGuru berharap kerajaan menimbang semula perkara berkenaan meskipun dengan alasan kewangan bagi membantu guru pelatih di Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Kebanyakan guru pelatih adalah terdiri daripada kaum Bumiputera dan Melayu yang perlukan pembelaan dan kebajikan ekoran tekanan dan beban kos sara hidup.

“Sebuah negara yang maju dan prihatin seperti Malaysia perlu memberikan keutamaan kepada bidang pendidikan,” katanya.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon dilaporkan berkata, kerajaan akan menghentikan elaun sara hidup dan perjalanan kepada guru pelatih mulai Jun tahun depan, termasuk menyaran memohon pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menampung keperluan hidup mereka.

Bagaimanapun, pelaksanaan perkara itu dikecualikan kepada guru pelatih yang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP).

Mereka yang sedang mengikuti PISMP akan terus menerima RM430 sebulan untuk elaun sara hidup dan elaun perjalanan tidak lebih RM500 setahun sehingga mereka tamat pengajian.

The post Jangan henti elaun guru pelatih: I-Guru appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?