Jeneral tentera Thai bersalah kes pemerdagangan pelarian Rohingya
BANGKOK, 6 Syawal 1438H, Khamis – Seorang jeneral tentera Thailand adalah antara tokoh terkenal yang didapati bersalah dalam kes pemerdagangan manusia, termasuk membabitkan etnik Rohingya dari Myanmar.
Leftenan Jeneral Manas Kongpaen didapati bersalah semalam terhadap beberapa tuduhan pemerdagangan manusia dan rasuah. Kira-kira 103 individu lagi turut berdepan tuduhan sama, dan 62 daripada didapati bersalah dijatuhi hukuman penjara antara empat tahun hingga maksimum 50 tahun.
Seorang lagi tokoh terkenal yang didapati bersalah ialah Pajjuban Aungkachotephan. Dia adalah seorang ahli perniagaan dan bekas pemimpin politik di Satun, selatan Thailand. Perbicaraan bagi tertuduh yang lain masih diteruskan.
Selain jeneral tentera itu, warga Myanmar, anggota polis Thailand dan pemimpin politik tempatan antara yang dituduh. Tangkapan terhadap mereka bermula pada 2015 selepas penemuan 36 mayat dalam kubur besar di hutan selatan Thailand.
Penemuan kubur itu mendedahkan rangkaian pemerdagangan manusia membabitkan etnik Muslim Rohingya yang melarikan diri dari kekejaman rejim Myanmar, tetapi ditempatkan di dalam hutan berhampiran sempadan Malaysia dan keluarga mereka diminta menyerahkan wang tebusan, sebelum dibenarkan memasuki Malaysia.
Pihak berkuasa berkata, penyeludup menahan pelarian terbabit di kem dalam hutan sehingga keluarga mereka di Myanmar membayar wang tebusan. Ramai yang gagal membayarnya.
Kes itu mendapat perhatian khas apabila pegawai kanan penyiasat, Major Jeneral Paween Pongsirin, melarikan diri ke Australia dan berkata beliau bimbang dengan keselamatan dirinya selepas siasatan mendapati ada orang berpengaruh yang turut terbabit. – Agensi
The post Jeneral tentera Thai bersalah kes pemerdagangan pelarian Rohingya appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan