Jom Daftar Undi Demi Agama, Negara dan Bangsa

Berkali – kali saya menonton video pendek ini (https://youtu.be/FT3zuBuqnsk). Dan setiap kali saya mengulang tonton video ini pelbagai rasa yang menyerap masuk ke dalam hati. Kagum, hormat, sedih, marah dan kecewa semuanya silih berganti melewati perasaan ini. Durasi video ini hanya 3 minit lebih. Namun dalam masa sependek ini ianya sudah cukup untuk memberikan gambaran tentang kehebatan rakyat turki mempertahankan tanah air mereka dari cubaan merampas kuasa oleh sebahagian tentera mereka sendiri.

Keberanian seorang wanita muda berhadapan dengan tentera, ayah dan anak yang sehidup semati demi kedaulatan tanah air mereka, seorang tentera yang nekad berani mati berhadapan dengan tentera-tentera bersenjata yang lain ketika serangan di kediaman Presiden dan keberanian sebahagian rakyatnya yang sanggup berbaring dihadapan kereta kebal demi menghalang rampasan kuasa tersebut. Kagum saya melihat apa yang mereka sedia lakukan untuk tanah air mereka.

Sudah dua hari saya bersama beberapa rakan guru terlibat dalam taklimat dan latihan kepada petugas pilihanraya sebagai persiapan menghadapi Pilihanraya umum ke 14. Sambil-sambil mendengar taklimat saya melayari beberapa laman sesawang akhbar tempatan dengan kata laluan SPR dan pilihanraya. Saya tertarik pada sebuah laporan akhbar yang menyatakan bahawa pada Februari 2017 masih terdapat 4.1 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih. Dan sebahagian besar mereka ini adalah golongan muda dan juga belia di ipt.

Entah apa halangannya yang menahan mereka dari mendaftar. Untuk yang belum tahu caranya anda hanya perlu membawa kad pengenalan anda ke mana-mana pejabat pos yang berhampiran dan beritahu hajat anda kepada pegawai pejabat pos yang bertugas. Selesai.

Pesan saya,
Segerakanlah tanggungjawab ini. Inikan negara kita. Kita tidak diminta untuk berhadapan dengan bala tentera pemberontak atau berbaring di hadapan kereta kebal. Apatah lagi berkubu tubuh menahan peluru dari muncung senapang si pemberontak. Hanya perlu menyinggah di pejabat pos, sedikit menahan sabar menunggu giliran dan menandatangani borang pengesahan yang diminta. Dan selepas itu keluarlah mengundi pada tarikh yang ditetapkan. Kita mungkin tidak sekuat syuhada turki yang terkorban dalam cubaan rampasan kuasa 15 julai 2016, tetapi saya percaya yang kita juga tidak terlalu lemah dan lembik hinggakan mengangkat pen untuk mengundi pun kita tak mampu.

Hai orang muda,

Orang Gayung pulang ke Gayung,
Datang ke Gayung negeri China;
Tuan ini ibarat payung,
Hujan dan panas sangat berguna.

Asmadi Abdul Samad,
Timbalan Ketua Pemuda Isma

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?