Kerajaan perlu perjelas alasan jual PLUS Malaysia kepada syarikat milik individu

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 3 Zulkaedah 1438H, Khamis – Kerajaan digesa membuat penjelasan berhubung keputusan menjual syarikat konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Bhd kepada pemilik Maju Holdings Sdn. Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamad.

Mempersoal kewajaran tindakan kerajaan itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, PLUS adalah pengusaha lebuh raya bertol terbesar di Malaysia dan salah satu yang terbesar di Asia Tenggara.

Katanya, PLUS memiliki dan menguruskan aset milik negara, jadi sangat tidak wajar untuk ia dipindah milikkan kepada mana-mana syarikat milik individu lain.

“Lebuh raya ini adalah aset matang yang menyediakan peruntukan deviden yang stabil terutamanya kepada pencarum-pencarum KWSP. Sekiranya KWSP tidak lagi mempunyai hak pemilikan ini, dividen kepada para pencarum pasti akan terjejas.

“Selain itu, sekiranya ia tidak lagi menjadi milik kerajaan, rundingan mengenai kenaikan kadar tol akan menjadi lebih terhad. Berbanding sekarang, kadar tol di jajaran Lebuh Raya Utara-Selatan sepanjang 960 km itu tertakluk kepada kajian setiap 3 tahun dan hanya melibatkan agensi milik Kerajaan menjadikannya lebih anjal untuk dirundingkan termasuk boleh untuk membuat penangguhan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan The Edge baru-baru ini bahawa Tan Sri Abu Sahid akan mengambil alih syarikat pengendali konsesi lebuh raya PLUS dengan membeli 51% saham UEM Group Bhd. iaitu anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd.

Laporan itu juga menyatakan bahawa Abu Sahid turut berhasrat untuk membeli 49% lagi saham PLUS Malaysia Bhd. milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mengulas lanjut Dr Khairuddin berkata, jika PLUS menjadi milik individu, kerajaan juga berkemungkinan menghadapi risiko lain seperti disaman dan meningkatkan perbelanjaan negara.

“Akibatnya kerajaan perlu membayar pampasan justeru rakyat juga pastinya akan turut sama terbeban.

“Meskipun rundingan mengenainya masih belum dimulakan, apa yang mendukacitakan ialah apabila Abu Sahid memaklumkan bahawa beliau amat yakin akan berjaya mengambil alih PLUS Malaysia Bhd. kerana telah mendapat restu daripada pihak tertinggi dalam negara,” katanya.

The post Kerajaan perlu perjelas alasan jual PLUS Malaysia kepada syarikat milik individu appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian