Kes kelima rabies dikesan di Serian
KUALA LUMPUR, 25 Syawal 1438H, Rabu – Satu lagi kes wabak rabies atau anjing gila dikesan di Serian, Sarawak.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes terbaharu itu membabitkan seorang lelaki berusia 52 tahun dari Kampung Remun, Serian, yang mempunyai sejarah digigit anjing pada awal Mei lalu.
“Pada 11 Julai lalu, beliau mengalami lemah anggota kaki, kebas, sakit belakang serta kebingungan dan sudah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (SGH) untuk rawatan lanjut.
“Oleh itu, sehingga semalam, terdapat lima kes rabies di Serian, Sarawak. Empat kes sudah meninggal dunia dan satu kes sedang dirawat di SGH,” katanya.
Sebelum ini, terdapat empat kes disahkan rabies di Serian, Sarawak di mana tiga kes telah meninggal dunia dan satu kes iaitu kes keempat sedang dirawat di wad PICU Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dalam keadaan kritikal.
Sementara itu, mangsa keempat wabak rabies kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dari Kampung Ampungan, Serian sedang dirawat di PICU HUS.
The post Kes kelima rabies dikesan di Serian appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan