KKM sengaja mahu singkirkan BM sebagai bahasa kebangsaan: DBP

BANGI, 9 Syawal 1438H, Isnin – Langkah Kementerian Kesihatan (KKM) melonggarkan syarat kelayakan lulus bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disifatkan sebagai tindakan sengaja untuk menyingkirkan bahasa Melayu dari kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar berkata, beliau membantah keras langkah KKM melonggarkan syarat lulus bahasa Melayu peringkat SPM bagi lantikan kontrak pegawai perubatan UD41.

“Jika tindakan Kementerian Kesihatan ini dibiarkan, ia akan segera disusuli oleh pelbagai pihak lain yang akhirnya menyaksikan tersungkurnya bahasa Melayu.

“Dalam sejarah dunia tidak ada bangsa yang bermaruah yang dengan mudah saja membiarkan bahasa kebangsaan sendiri diperkotak-katikkan,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Menurutnya, bahasa Melayu wajib didaulatkan dalam semua bidang ilmu dan amalan profesional di negara ini terutama dalam konteks penjawat awam.

“Syarat lulus bahasa Melayu perlu meliputi semua peringkat perjawatan tanpa mengira sama ada kontrak, sementara atau tetap.

“Apatah lagi jika perubatan bidang kritikal yang banyak membabitkan komunikasi lisan dengan pesakit, manakala salah faham bahasa boleh membawa maut kepada pesakit terutama di luar bandar,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah bersetuju memberi kelonggaran syarat kelayakan Lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat SPM untuk pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41.

Dr Noor Hisham berkata, semua calon Pegawai Perubatan UD41 yang dilantik dengan kelonggaran syarat Lulus BM ketika lantikan kontrak perlu memenuhi syarat Lulus BM di peringkat SPM bagi tujuan pelantikan tetap ke jawatan Pegawai Perubatan di Kementerian Kesihatan.

Malah, kementerian mengambil maklum bahawa calon persendirian yang mendaftar untuk Peperiksaan SPM kali pertama boleh memohon kelulusan daripada Pengarah Lembaga Peperiksaan untuk mengambil Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran tunggal iaitu bagi memenuhi syarat perkhidmatan lantikan ke perkhidmatan awam, tanpa perlu menduduki subjek SPM lain.

The post KKM sengaja mahu singkirkan BM sebagai bahasa kebangsaan: DBP appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian