Mai abang nak payung pasal depression!
1. Posting ini bukan pasal kematian Chester atau mana-mana selebriti. Bukan juga kerana dua, tiga kes dalam Metro tentang orang terjun bangunan. Bukan juga kerana respon para alim dan pakar psikologi jadi-jadian yang dengan mudah membuat rumusan dari kes-kes sebegini. Bukan juga kerana rasa emosional dengan ‘diagnosis’ pakar jadi-jadian yang mengaitkan masalah mental dengan punca – “sebab tak cukup imanlah tu”, “sebab jiwa kosong tak ada agama”.
2. Ini kerana bagi kami yang bekerja dalam bidang kesihatan mental, psikiatri dan psikologi, kami tidak berbicara tentang kemurungan ikut musim. Kami tak merawat komen di sosial media mahupun di tepi-tepi tembok. Tapi kemurungan dan lain-lain masalah mental adalah realiti yang kami lihat sehari-hari.
Kami temui kemurungan pada ibu, ayah, anak, adik mahupun kakak. Kami berhadapan dengan kes kemurungan melibatkan petani, buruh, pegawai kerajaan, doktor, kerani mahupun yang tidak bekerjaya. Kami rawat kes kemurungan pada Melayu di Muar, Iban di Kapit, Cina di Ampang, Bajau di Kudat. Bagi kami tiada sempadan bagi masalah mental. Mereka yang solat lima waktu dan tak tinggal tahajjud mengetuk pintu kami, begitu juga yang tidak percaya pada tuhan.
3. Kerana bagi kami memahami kemurungan itu bukan sekadar tertekan dengan masalah hidup. Kemurungan itu bukan sekadar mengangis sebab terasa hati dengan sikap manusia. Kemurungan itu bukan jua sekadar tidur tak lena mandi tak basah.
4. Allah ciptakan otak manusia dengan penuh keajaiban. Bukan sekadar untuk berfikir, ia juga tercipta dengan fungsi mengawal emosi dan perasaan seorang insan. Individu yang mengalami kemurungan mengalami pelbagai perubahand alam fungsi otak mereka. Antaranya perubahan pada ‘hypothalamic-pituitary-adrenal axis’ yang menyebabkan hormone-hormon tertentu tidak seimbang dalam otak. Begitu juga dengan bahan kimia lain seperti brain-derived neurotrophic factor dan CREB yang turut terjejas.
5. Begitu juga dengan struktur otak seperti hippocampus, nucleus accumbens, amygdala yang terkesan. Struktur inilah yang bertanggungjawab mengawal motivasi, selera makan, tidur, tenaga, ritma circadian yang semuanya terjejas sewaktu seseorang mengalami kemurungan.
6. Lebih teruk lagi jika kemurungan yang dialami turut melibatkan gejala kerisauan melampau (anxiety). Bahagian otak yang dinamakan amygdala, yang berfungsi mengesan bahaya, akan menjadi terlalu aktif dan menyebabkan seseorang berterusan dalam keadaan takut dan cemas.
Kenapa semua maklumat ini penting?
7. Apabila kami terangkan satu persatu kepada pesakit akan hal ini, ada kalanya mereka memandang kami dan berkata:
“jadi saya jadi begini bukan sebab saya lemah iman doktor?”
“jadi ini bukan salah saya doktor?”
“jadi kenapa orang cakap saya jadi macam ni sebab jiwa saya tak kuat doktor?”
Inilah persoalan yang mencengkam mereka. Adakalanya cengkaman prejudis terhadap masalah mereka ini lebih perit dari kemurungan itu sendiri.
Apakah agama langsung tiada peranan dalam masalah jiwa?
8. Ini premis yang harus difahami dengan jelas. Benar, banyak kajian menunjukkan tahap pegangan agama seseorang mampu menjadi faktor pelindung kepada masalah kemurungan, menguruangkan risiko terjadinya kemurungan dan mengurangkan risiko berulangnya kemurungan. Pegangan kepada agama juga menjadi antara faktor mengurangkan risiko terjadinya kes bunuh diri.
9. Namun, untuk mengatakan semua kemurungan adalah disebabkan kurangnya pegangan agama adalah telahan yang silap. Begitu juga dengan anggapan bahawa semua kes kemurungan terjadi disebabkan kurangnya tautan dengan tuhan, adalah salah sama sekali.
10. Ini kerana bagi setiap kes kemurungan dan lain-lain masalah psikiatri, terdapat banyak faktor yang menyumbang. Antaranya masalah keturunan, masalah sewaktu proses kelahiran, masalah sewaktu proses perkembangan kanak-kanak, masalah trauma atau deraan sewaktu kecil, masalah hilang tempat pergantungan sewaktu proses pembesaran dan juga masalah kesihatan seperti stroke dan penyakit kanser.
Maka adakah wajar kita katakana kepada seseorang yang mengalami masalah kemurungan kerana semua faktor diatas dengan kata-kata – “cuba anda lebih dekat dengantuhan, mesti tak jadi semua ini!”
Kesimpulan
Tiada apa salahnya mendidik masyarakat untuk jadi lebih dekat dengan Pencipta. Ia sebahagian dari “positive psychology” atau “preventative psychiatry” yang saya fahami. Agama, jika dihayati dengan sebenarnya, akan menyediakan kita dengan pelbagai ‘tools’ yang diperlukan untuk membina ketahanan dari masalah hidup. Konsep rawatan holistic – biopsychosocial-spiritual adalah konsep yang kami ajarkan kepada setiap pelajar perubatan di universiti tempat kami berbakti.
Namun dalam masa yang sama, cuba hayati keperitan mereka yang mengalami masalah mental dengan penuh empati. Letakkan diri kita pada posisi mereka. Mulakan dengan memahami, mendengar dan memberi ruang kepada mereka. Bantu mereka pada ruang yang kita mampu. Jangan bersikap prejudis, jauhkan stigma dan sokonglah mereka untuk kebaikan.
Adakalanya diam dan mendengar selama 10 minit adalah jauh lebih bermakna dari anda bersyarah 10 jam topik nasihat pilihan anda.
Nota: Jika anda atau kenalan anda mengalami gejala kemurungan, sila dapatkan penilaian segera di mana-mana klinik atau hospital berdekatan.
Dr Rozanizam Zakaria
Pakar Psikiatri UIAM
Rujukan
Can anxiety damage the brain? Mah L, Szabuniewicz C, Fiocco AJ. Curr Opin Psychiatry. 2016 Jan;29(1):56-63.PMID: 26651008
Nestler, E. J., Barrot, M., DiLeone, R. J., Eisch, A. J., Gold, S. J., & Monteggia, L. M. (2002). Neurobiology of depression. Neuron, 34(1), 13-25.
Maltby, J., & Day, L. (2000). Depressive symptoms and religious orientation: Examining the relationship between religiosity and depression within the context of other correlates of depression. Personality and Individual Differences, 28(2), 383-393.
Dr Rozanizam Zakaria
Pegawai Perubatan Sarjana Psikiatri HUSM
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).
The post Mai abang nak payung pasal depression! appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan