MAPIM kecam penutupan masjid Al Aqsa, tuntut dunia bertindak
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 21 Syawal 1438H, Sabtu – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam dan membantah keras tindakan rejim Israel menghalang umat Islam di Palestin menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Aqsa.
Malah Mapim menyifatkan insiden tembakan tiga remaja Palestin di dalam Masjid Al Aqsa sebagai tindakan ganas tentera dan polis Israel untuk menguasai masjid itu sepenuhnya.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penutupan masjid Al Aqsa dan tindakan menghalang penduduk Palestin menunaikan solat Jumaat adalah tindakan biadap, menghina serta mencabar umat Islam di seluruh dunia.
Beliau menggesa masyarakat Islam dunia supaya membantah tindakan menghalang penduduk Palestin daripada menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Aqsa untuk kali pertama, selepas 1960.
“Kami menegaskan bahawa membiarkan Yahudi bertindak sewenang-wenangnya ke atas Masjid Al Aqsa akan mengundang ketegangan dan mencetuskan kemarahan yang memuncak dikalangan umat Islam.
“Rejim Israel jelas menunggu kesempatan untuk mencetuskan keganasan dan melakukan operasi mengambil alih dan memusnahkan Masjid Al Aqsa.
“Israel telah menolak keputusan Unesco yang memperakui Al Quds ialah warisan umat Islam dan dengan itu bertekad untuk melakukan tindakan bagi mencapai agenda pengyahudian Masjid Al Aqsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru katanya, masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri terhadap ‘kebiadapan’ Israel, dan tindakan perlu diambil untuk menghalang Al Quds dicerobohi Yahudi sebagaimana yang berlaku ke atas Masjid Ebrahimi di Hebron.
Beliau turut mengingatkan semua pemimpin Arab di Asia Barat supaya berhenti bertelagah antara satu sama lain, sebaliknya bertanggungjawab terhadap Masjid Al Aqsa dan Palestin sekiranya gagal bertindak.
“OIC perlu menyatakan sikap yang tegas dan jika Masjid Aqsa maseh ditutup sehingga Jumaat seterusnya, keputusan tindakan ekonomi , politik dan antarabangsa untuk menekan Israel secara kolektif dan berkesan perlu di ambil.
“Umat Islam perlu bersiap mempertahankan Masjid Al Aqsa dan tidak boleh berkompromi barang seinci pun tapak Masjid Al Aqsa tersebut.
“Agenda Israel menyusahkan dan menghalang umat Islam bersolat di Masjid ketiga termulia dalam Islam itu adalah salah satu tahap rancangan Yahudi untuk mengusir umat Islam dari Al Aqsa,” katanya.
The post MAPIM kecam penutupan masjid Al Aqsa, tuntut dunia bertindak appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan