MAPIM syor Majlis Fatwa Kebangsaan adakan sidang khas bincang isu al Aqsa
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 26 Syawal 1438H, Khamis – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mencadangkan supaya Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan satu sidang khas bagi membincangkan isu ancaman yang dihadapi di masjid al-Aqsa kebelakangan ini.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sejak tembakan tiga remaja Palestin di dalam Masjid al Aqsa pada 14 Julai lalu, rejim Israel dilihat terus meningkatkan tindakannya menindas umat Islam di negara itu.
“Kini, ketegangan tercetus setiap hari disekitar masjid sehingga puluhan warga Palestin tercedera akibat keganasan yang dilakukan oleh askar Yahudi ketika mereka menghalang warga Palestin dari memasukki masjid.
“Puluhan warga Palestin juga ditahan oleh polis Israel. Salah seorang imam Masjid Al Aqsa juga telah cedera ditembak oleh askar Yahudi. Seluruh pintu masuk ke dalam masjid telah ditutup dan kunci pintu-pintu tersebut dirampas,” katanya.
Tidak setakat itu, Mohd Azmi berkata, Israel kini memasang sekatan eletrik di depan pintu masuk yang kononnya untuk memeriksa setiap pengunjung yang datang ke Masjid al Aqsa.
“Semua tindakan Israel ini adalah agresi, pencerobohan dan bersifat jenayah. Umat Islam perlu dipandu dan digembleng supaya tahu tanggungjawab mereka terhadap Masjid Al Aqsa.
“Yahudi sudah mengistiharkan bahawa mereka mahu menguasai seluruh Masjid Aqsa kerana mendakwa masjid tersebut adalah tapak “temple mont” ( kuil sulaiman ) yang dikata tempat ibadat Yahudi,” katanya.
Justeru, beliau berpendapat, ulama dan mufti di negara ini perlu mengadakan pertemuan menerusi sidang khas itu bagi membincangkan sikap dan pendirian umat Islam berhubung isu berkenaan.
“Kami mengusulkan agar rumusan para mufti di Malaysia akan diketengahkan kepada umat Islam diseluruh dunia.
“Sidang khas para mufti akan menunjukkan keprihatinan yang serius diberi oleh ulama di Malaysia mengenai ancaman terhadap Masjid al Aqsa,” katanya.
The post MAPIM syor Majlis Fatwa Kebangsaan adakan sidang khas bincang isu al Aqsa appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan