MRT adalah pelaksanaan tanggungjawab kerajaan, bukan hadiah
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 24 Syawal 1438H, Selasa – Tren Aliran Transit Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) fasa kedua yang dilancarkan secara rasmi semalam, tidak sepatutnya dianggap sebagai hadiah kepada rakyat, sebaliknya ia adalah tanggungjawab kerajaan.
Menyelar kenyataan dua menteri sebelum ini, bekas pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain berkata, pelaksanaan perkhidmatan MRT itu bukan ‘hadiah’, malah konsep itu tidak pernah wujud dalam mana-mana pentadbiran kerajaan.
Sebaliknya jelas beliau, MRT adalah pelaksanaan tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan kemudahan dan infrastruktur terbaik kepada rakyat.
“Saya sangat bimbang dengan tahap pemikiran sesetengah menteri kita. Ini memberikan isyarat yang salah kepada rakyat terhadap definisi tanggungjawab kerajaan.
“Kalau kerajaan melakukan, kita sebagai rakyat berterima kasih sajalah. Tetapi kalau tidak melaksanakan tanggungjawab rakyat berhak menuntut.
“Kalau hadiah orang tidak beri, kita diam saja. MRT bukan hadiah, kalau tidak dilaksanakan rakyat berhak menuntut. Tidak usahlah berlebih-lebih sangat ampu-ampuan itu. Kesipuanlah sikit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan projek MRT sepanjang 51 kilometer dengan kos RM21 bilion, sebagai ‘hadiah dan cenderahati’ perdana menteri kepada rakyat.
The post MRT adalah pelaksanaan tanggungjawab kerajaan, bukan hadiah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan