Najib perlu hadir forum, tanya dan jawab dakwaan saya: Tun M
BANGI, 25 Syawal 1438H Rabu – Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi secara serius menjemput Datuk Seri Najib Razak hadir ke forum ‘Nothing to Hide 2.0’ bagi menjawab segala dakwaan, termasuk isu RM2.6 bilion yang berada dalam akaun peribadi perdana menteri itu.
“Najib juga perlu hadir, dan jawab soalan atau lempar dakwaan terhadap saya. Jangan jadi macam forum ‘Nothing to Hide’, apabila dia tak hadir kononnya sebab tunjuk perasaan, tetapi sebenarnya tidak ada pun.
“Kami boleh jawab semua dakwaan yang dibuat terhadap saya. Saya rasa ini platform terbaik untuk memberitahu perkara sebenar,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
Forum “Nothing to Hide 2.0” dijadualkan pada 13 Ogos di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam.
Jelas bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun itu, semua pihak tidak perlu bimbang mengenai campurtangan polis sekiranya Najib menghadiri forum itu, memandangkan beliau seorang perdana menteri.
Pada 2015 lalu, dialog Nothing2Hide menjadi tumpuan pelbagai pihak, termasuk rakyat dan media yang menjadi platform menemukan Najib dan Dr Mahathir.
Bagaimanapun, Najib mencetuskan kontroversi apabila forum yang sepatutnya digunakan sebagai pentas menjawab pelbagai persoalan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibatalkan oleh penganjur atas faktor keselamatan selepas mendapat nasihat polis.
The post Najib perlu hadir forum, tanya dan jawab dakwaan saya: Tun M appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan