OSA bukan untuk sembunyi perbuatan jenayah: Tun M
BANGI, 24 Syawal 1438H, Selasa – Perbuatan jenayah tidak sepatutnya disembunyikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) sebagai rahsia kerajaan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau menyelar tindakan kerajaan dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali menyembunyikan bukti dan laporan skandal berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“OSA bukan bermakna satu perbuatan jenayah menjadi ‘official secret’. Yang menjadi official secret adalah surat-surat untuk Kabinet, itu rahsia.
“Rancangan-rancangan yang belum kita (kerajaan) tentukan, itu rahsia. Terdapat perjanjian nak buat tetapi belum dilaksanakan, itu rahsia. Tetapi kalau curi dana kerajaan, itu bukan rahsia,” katanya ketika berucap dalam ceramah perdana pakatan harapan di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, malam tadi.
Menyindir Apandi, beliau berkata ia menjadi tanggungjawab kepada sesiapa sahaja yang mengetahui salah laku jenayah untuk membuat laporan polis.
“Bukan sembunyi, ini AG dia tak tahu dia dah lakukan kesalahan besar menyembunyikan bukti jenayah. Satu hari nanti mungkin dia kena jawablah.
“Sebab itu kita (pakatan harapan) perlu menang. Kalau nak tahu AG buat salah ke tidak, bagi kemenangan kepada pakatan harapan, bila menang kita akan kata ‘hei AG, awak buat salah atau tak, sembunyi bukti jenayah’, pada masa itu dia tahulah,” katanya.
Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu berkata, jika benar Datuk Seri Najib Razak tidak bersalah, maka kerajaan sepatutnya berani menunjukkan laporan skandal 1MDB kepada umum.
“Tapi Najib memang salah sebab itu dia takut bukti-bukti itu didedah dan diambil tindakan mengikut undang-undang negara.
“Wang negara dah hilang begitu banyak. Bila dijumpai di dalam akaun, dia (Najib) kata itu ‘pak Arab’ bagi. Saya minta duit daripada ‘pak Arab’ untuk universiti Islam tak dapat satu sen pun. Itu kerja kebajikan. Apa Najib buat sampai Arab bagi berbilion ringgit,” katanya.
Namun katanya, duit berkenaan dicuri daripada 1MDB, dan ia juga dinyatakan secara jelas dalam laporan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.
“Duit dalam akaun dia itu datang dari 1MDB, ini tuduhan. Jahat sungguh kerajaan AS, kononnya saya lah mempengaruh mereka suruh buat demikian. Siapa nak percaya?
“Yang sebenarnya jenayah itu berlaku di AS, duit yang dicuri itu ditukar di Amerika kepada mata wang AS, itu namanya membersihkan wang curi.
“Kerajaan AS sedar akan percubaan penyangak untuk bersihkan duit. Apabila ia dibuat di AS, melibatkan mata wang AS, bank-bank AS, harta-harta di AS dan filem lucah AS, bermakna orang itu buat kesalahan di AS. Kita tak suruh AS ambil tindakan terhadap Najib di Malaysia,” katanya.
The post OSA bukan untuk sembunyi perbuatan jenayah: Tun M appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan