Pakar internet kata penggodaman agensi berita Qatar dilakukan dari Emiriah Arab Bersatu

DOHA, 27 Syawal 1438H, Jumaat – Kementerian Dalam Negeri Qatar berkata, pakar internet menemui bukti menunjukkan serangan siber terhadap agensi media rasmi negara itu baru-baru ini, yang mencetuskan krisis diplomatik antara Doha dan beberapa negara Teluk diketuai Arab Saudi, berasal dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

UAE adalah antara negara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar baru-baru ini. Negara Teluk lain ialah Arab Saudi, Bahrain dan Mesir.

Pada sidang media di Doha hari ini, pegawai penyiasat Kapten Othman Salem al-Hamoud berkata, perancangan dan penggodaman terhadap Agensi Berita Qatar (QNA) bermula seawal April lalu, dengan alamat IP (internet protocol) serangan itu dikesan dari UAE.

Tahap dan kualiti penggodaman itu dikatakan amat profesional kerana memerlukan sumber dalaman.

Terdahulu Ketua Jabatan Teknologi kementerian itu, Leftenan Kolonel Ali Mohammed al-Mohannadi berkata, operasi penggodaman dilakukan dengan atau melalui salah sebuah negara yang memutuskan hubungan serta mengenakan sekatan terhadap Qatar.

“Penggodam mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas rangkaian QNA, termasuk semua akaun, laman web dan platform sosial berkaitan.

“Ini bertujuan untuk mengarang dan menyiarkan berita palsu, yang dikaitkan dengan pemerintah tertinggi Qatar,” katanya sambil menambah kes itu sudah diserahkan kepada pendakwa raya.

Serangan siber itu dilaporkan berlaku dalam tempoh tiga jam, bermula lewat malam 24 Mei hingga awal 24 Mei, sebelum pakar IT media berjaya mengesan dan mengambil alih semula kawalan ke atas laman web itu.

Dalam tayangan video ketika mendedahkan laporan siasatan itu, kementerian berkenaan berkata, siasatan mendapati seawal April, penggodam sudah menusup ke dalam rangkaian QNA menggunakan perisian VPN dan pengimbasan laman web.

Penggodam kemudian mengeksploitasi kelemahan sistem rangkaian dan memuat naik ‘program berniat jahat’ yang kemudian digunakan untuk menerbitkan berita palsu.

Alamat, kata laluan dan e-mel semua pekerja agensi berita itu juga dicuri.

Laporan awal Washington Post sebelum ini mendedahkan, UAE mengatur operasi serangan itu.

Akhbar itu pada Ahad lalu melaporkan maklumat daripada perisik Amerika Syarikat (AS) menunjukkan pegawai kanan UAE merancang serangan untuk menggodam QNA pada 23 Mei, sehari sebelum serangan itu dilakukan.

Bagaimanapun, perisik berkenaan tidak pasti sama ada UAE menggodam aman web itu atau membayar sejumlah wang kepada penggodam untuk melakukan serangan itu. – Agensi

The post Pakar internet kata penggodaman agensi berita Qatar dilakukan dari Emiriah Arab Bersatu appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?