PAS yakin RUU355 dibahas pada sesi Parlimen ini
KUALA LUMPUR, 2 Zulkaedah 1438H, Rabu – PAS optimis bahawa usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355 yang dibentang Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan dibahas pada sesi Parlimen penggal ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu yakin bahawa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan membenarkan perbahasan usul itu diteruskan selepas ditangguh pada 6 April lepas.
“Tidak kira nombor giliran keberapa sekarang. Jika ada masa pada sidang sebelum ini, pasti akan ada masa untuk kali ini,” katanya kepada pemberita di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan Akta memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah itu dapat dibahaskan pada penggal Parlimen kali ini.
6 April lalu, Pandikar membenarkan RUU355 dibentangkan oleh Abdul Hadi bagi menjelaskan secara lanjut pindaan yang diusulkannya itu, sebelum Parlimen memutuskan supaya sesi perbahasannya ditangguhkan.
RUU 355 pertama kali dibentangkan Abdul Hadi di Dewan Rakyat pada Mei 2016 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.
Abdul Hadi pada sesi terakhir Parlimen November lepas meminda usul itu dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimum 100 sebatan berbanding maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.
The post PAS yakin RUU355 dibahas pada sesi Parlimen ini appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan