Pengarah FIC beri keterangan kepada SPRM
PUTRAJAYA, 24 Syawal 1438H, Selasa – Dua individu hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pagi ini, dipercayai bagi memberi keterangan berhubung pembelian hotel bernilai RM330 juta di Kensington oleh FIC.
Pengarah Felda Investment Corporation (FIC), Datuk Nik Azman Mohamed Zain dan seorang wanita yang tidak dinamakan tiba secara berasingan kira-kira jam 10 pagi tadi.
Semalam, lapan pegawai SPRM dilihat beredar dari Balai Felda, Jalan Gurney 1, Kuala Lumpur sambil membawa bersama tiga kotak berwarna kuning dan dua beg bagasi dipercayai berisi dokumen berkaitan FIC yang juga sebuah anak syarikat FELDA.
Difahamkan, semua barangan itu akan dibawa ke pejabat SPRM untuk siasatan berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London oleh FIC antara tahun 2013 dan 2015.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, dalam satu kenyataan pada 14 Julai lalu berkata, berdasarkan siasatan awal, FIC dipercayai membeli hotel itu pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.
Susulan itu, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam proses pembelian hotel itu.
The post Pengarah FIC beri keterangan kepada SPRM appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan