Qatar tuduh Arab Saudi politikkan ibadah haji
DOHA, 6 Zulkaedah 1438H, Ahad – Qatar menuduh Arab Saudi mempolitikkan ibadah haji, sambil mendakwa Riyadh mengenakan sekatan kepada rakyat Qatar yang merancang ke tanah suci pada musim haji sekarang.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Qatar berkata, rakyat negara itu dimaklumkan bahawa mereka hanya boleh memasuki Arab Saudi menerusi dua lapangan terbang di Qatar sahaja.
Ini akan memberi kesan kepada mereka yang tidak tinggal di Doha, khususnya pelajar di luar negara.
Suruhanjaya berkenaan telah memfailkan aduan kepada wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kebebasan kepercayaan dan agama berhubung sekatan itu, dengan mendakwa ianya melanggar undang-undang antarabangsa dan persefahaman terhadap hak untuk beribadat.
Sekatan itu adalah sebahagian daripada boikot yang dilancarkan Arab Saudi, Eimiriah Arab Bersatu, Mesir dan Bahrain pada 5 Jun lalu, yang menyaksikan gabungan negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar. Mereka mendakwa Qatar membantu pengganas, tetapi Doha menafikan dakwaan itu.
Empat negara Arab itu memutuskan hubungan pengangkutan dengan Qatar, manakala Arab Saudi menutup satu-satunya pintu sempadan darat dengan Doha.
Suruhanjaya berkenaan kesal dengan tindakan Arab Saudi yang menggunakan ibadah haji bagi mencapai matlamat politik.
“Pihak berkuasa Arab Saudi membenarkan rakyat Qatar untuk memasuki negara itu menerusi dua lapangan terbang di Qatar sahaja. Ini menyebabkan rakyat kami yang berada di luar negara perlu kembali ke Qatar terlebih dahulu sebelum ke Arab Saudi,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.
Mereka juga akan mengemukakan aduan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO) untuk menolak tuduhan rakyat Qatar memberi ancaman dan gangguan kepada Arab Saudi. – Agensi
The post Qatar tuduh Arab Saudi politikkan ibadah haji appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan