Rabies: Anjing, kucing dari Perak dan Sarawak dihalang masuk Pulau Pinang
GEORGETOWN, 25 Syawal 1438H, Rabu – Anjing dan kucing daripada Perak serta Sarawak tidak dibenarkan memasuki Pulau Pinang ekoran wabak rabies atau anjing gila yang menyerang dua negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin berkata, Pulau Pinang kini mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghentikan kemasukan haiwan dari dua negeri terjejas itu.
“Mana-mana haiwan mamalia akan dihalang daripada memasuki negeri itu dengan serta-merta. Pulau Pinang bebas rabies sejak dua tahun lalu.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar (VSD) akan menetapkan sekatan jalan di sempadan Pulau Pinang-Perak sebagai langkah pencegahan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau turut menggalakkan pemilik haiwan berkenaan untuk mengambil vaksin terhadap binatang peliharaan mereka di pejabat VSD di Bukit Tengah atau Jalan Gurdwara di Georgetown.
Katanya, vaksin berkenaan hanya akan dikenakan caj sebanyak RM5 sahaja.
Beliau berkata, orang ramai juga disaran menghubungi Bilik Gerakan Rabies VSD di talian 04-5041047 sekiranya haiwan mereka menunjukkan gejala seperti rabies.
The post Rabies: Anjing, kucing dari Perak dan Sarawak dihalang masuk Pulau Pinang appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan