Semua petunjuk buktikan Mesir di bawah el-Sisi lebih buruk daripada era Mubarak

KAHERAH, 10 Syawal 1438H, Selasa – Hari ini, empat tahun lalu, Mesir menyaksikan Presiden yang dipilih secara demokrasi, Mohamed Morsi, digulingkan dalam rampasan kuasa tentera.

Pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin itu hanya berada di dalam pejabat Presiden cuma setahun apabila Jeneral Abdel Fattah el-Sisi, mengumumkan rampasan kuasa menerusi stesen televisyen negara itu, diikuti penggantungan Perlembagaan Negara dan menubuhkankerajaan sementara.

Pihak tentera mendakwa tindakan itu adalah kehendak rakyat, yang memenuhi jalan raya pada 30 Jun 2013, berikutan kebimbangan Morsi akan menjadi lebih autoritarian.

Dalam tempoh dua tahun, Morsi menjadi pemimpin Mesir kedua digulingkan. Tatkala gelombang pemberontakan melanda dunia Arab pada 2011, rakyat Mesir juga menggulingkan ketua tentera Hosni Mubarak, yang memerintah secara diktator selama 30 tahun.

Pergolakan sosial dan politik pada tahun-tahun itu membawa Mesir ke dalam krisis ekonomi.

Kebangkitan el-Sisi pada Jun 2014 sepatutnya membawa era baharu kepada kestabilan Mesir. Dia memperkenalkan pembaharuan ekonomi yang pesat, seperti memotong subsidi minyak dan menaikkan cukai dalam usaha untuk mengurangkan pengangguran dan menjana pendapatan jangka panjang negara.

Beliau juga memulakan beberapa projek infrastruktur baru, termasuk pembesaran Terusan Suez dan kawasan pertanian, yang mana menurutnya akan membolehkan Mesir berdikari dan mewujudkan peluang pekerjaan. Apabila keganasan berkurangan, pendapatan pelancongan meningkat.

Namun, pakar mengatakan kestabilan sementara itu telah mula terhakis, diganti dengan sekatan terhadap kebebasan awam.

Sarah Yerkes dari Carnegie Endowment for International Peace yang berpangkalan di Washington berkata, sesetengah rakyat Mesir menerima semula sistem lama yang mereka percaya bahawa rejim Mubarak memberi lebih kestabilan.

“Untuk tempoh yang lama, pemikiran sebegini tidak rasional – Mubarak hanya mampu menguasai Mesir begitu lama – tetapi bagi tempoh yang singkat, sesetengah warga Mesir sanggup menanggung penindasan dan kurang kebebasan, sebagai tukaran untuk apa yang mereka anggap memberi kestabilan yang lebih luas,” katanya.

Tidak lama selepas Morsi disingkirkan, kerajaan sementara yang disokong tentera, memulakan tindakan keras terhadap ahli dan penyokong Ikhwanul Muslimin yang terus mengadakan tunjuk perasaan dan menyatakan sokongan kepada Morsi.

Pada Ogos 2013, anggota pasukan keselamatan dan tentera menyerang penunjuk perasaan di Dataran Rabaa al-Adawiya, membunuh kira-kira 1,000 penyokong Morsi. Pemantau hak asasi manusia menyifatkannya sebagai ‘salah satu sejarah pembunuhan terbesar penunjuk perasaan dalam tempoh sehari’.

Dan dalam perbicaraan besar-besaran yang dikritik hebat, Mesir menghukum mati ratusan penyokong Ikhwanul Muslimin – ‘satu hukuman berat yang terbesar diberikan dalam sejarah Mesir moden’, mengikut Amnesty International.

Pergerakan itu, yang tertua di Mesir, pergerakan Islam paling berpengaruh, juga diharamkan dan asetnya dirampas, sebelum diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan.

“Penindasan yang keras terhadap penyokong Morsi memberi pesanan tegas kepada rakyat Mesir bahawa di bawah pemerintahan autoritarian rejim el-Sisi: Bangkangan tidak akan diterima. Seiring dengan pemenjaraan besar-besaran iaitu kira-kira 50,000 orang, ini cukup untuk memastikan bangkangan kepada rejim akan dipatahkan pada tahun-tahun mendatang,” kata Profesor Sejarah Sekolah Kajian Perkhidmatan Luat Universiti Georgetown di Qatar, Abdullah al-Arian.

Beberapa bulan menduduki pejabat, el-Sisi meluluskan undang-undang mengharamkan demonstrasi tanpa kebenaran polis, menyebabkan tunjuk perasaan semakin kurang. Tindakan menindas seperti itu, kata penganalisis, mengikat suara rakyat Mesir.

“Rakyat Mesir hanya mahukan kestabilan ekonomi dan politik dan menyokong rampasan kuasa el-Sisi. Sebaik sahaja selepas el-Sisi mengambil alih kuasa, wang dari Arab Saudi dan negara Teluk mula mencurah masuk, menstabilkan sementara ekonomi Mesir dan memberi kemenangan kepada el-Sisi, sedang sokongan terhadap Morsi mula terhakis,” kata Profesor Sejarah Timur Tengah Universiti California, Los Angeles, James Gelvin.

Katanya, Mesir hari ini lebih autoritarian berbanding mana-mana pemimpin sejak Gamal Abdel Nasser, malah di bawah el-Sisi semua aktiviti pembangkang diharamkan, Ikhwanul Muslimin diharamkan dan pesaing politik – sama ada Islam atau sekular – dibunuh, dipenjara dan diseksa.

Di bawah rejim Mubarak, tidak banyak ruang bagi perbezaan, tetapi terdapat garis merah yang jelas. Rakyat boleh meneruskan urusan mereka, selagi mereka tidak mengkritik Mubarak, Islam atau pasukan keselamatan. Hari ini, tiada siapa yang selamat.

Pembela hak asasi manusia, kumpulan masyarakat madani dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjadi sasaran, secara sistematik dipanggil untuk siasatan, diharamkan daripada keluar negara dan aset mereka dirampas. Undang-undang baharu, ditandatangani pada Mei lalu, menyalahkan NGO dan menempatkan mereka di bawah pengawasan langsung badan keselamatan negara.

“Dengan 30 hingga 40 peratus rakyat Mesir membelanjakan AS$2 atau kurang sehari, terdapat ruang yang sangat kecil untuk mereka memiliki apa yang dikehendaki. Dan, jika tunjuk perasaan baharu meletus, secara harfiah jutaan orang akan berdepan masalah kewangan,” kata Profesor Sejarah Timur Tengah Universiti California, Mark Levine.

Walaupun kedudukan awam el-Sisi selama dua tahun pertama berkuasa sebahagian besarnya tidak dicabar, satu siri keputusan baru-baru ini menguji populariti dan cengkamannya di negara itu.

Tahun lalu, kerajaan rejim kudeta itu mengumumkan perjanjian dengan Arab Saudi yang menyerahkan dua pulau di Laut Merah, menyebabkan rakyat Mesir mengadakan tunjuk perasaan aman. Sebagai tindak balas, 71 penunjuk perasaan ditangkap dan dihukum penjara dua tahun.

Keretakan di sektor ekonomi juga mula kelihatan. Pada Mei, inflasi Mesir meningkat kepada 30 peratus, tertinggi dalam tiga dekad. Di bawah pinjaman Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), pelan ekonomi dilancarkan dengan kerajaan mencurahkan wang dan menaikkan harga minyak sebanyak 55 peratus bagi kali kedua dalam tempoh sebulan.

Satu lagi ancaman domestik besar yang dihadapi rejim el-Sisi ialah keganasan di Sinai, di mana kumpulan bersenjata yang ada kaitan dengan IS melancarkan serangan terbuka terhadap kerajaan, tentera dan orang awam.

“Walaupun, Mesir berpengalaman berdepan pengganas di bawah era Mubarak, pemberontakan di Sinai sekarang dengan serangan teratur terhadap orang awam serta pasukan keselamatan berterusan, kata Pengarah Institut Kajian Dasar Timur Tengah, Allison McManus.

Sebagai tindak balas, katanya, rejim Mesir megambil pelbagai langkah keselamatan, undang-undang dan dasar atas nama memerangi keganasan yang bukan sahaja menyasarkan militan, tetapi juga pemimpin pembangkang.

Dan, apabila kerajaan mendakwa masalah itu dapat dikawal, usaha untuk membendung keganasan di Sinai didapati gagal.

Antara apa yang kini hampir menjadi serangan sistematik, termasuk tindakan militan menembak jatuh pesawat Russia, membunuh 224 penumpang dan anak kapal pada 2015, dan tahun ini menyasarkan gereja dan bas membawa penganut Kristian di Sinai yang membunuh lebih 100 orang awam.

Hampir semua petunjuk membuktikan Mesir pada hari ini lebih buruk daripada era Mubarak. Situasi keselamatan buruk, ekonomi juga buruk, tahap penindasan jauh lebih tinggi dan keupayaan kerajaan untuk menyediakan barangan asas serta perkhidmatan juga menurun. – Agensi

The post Semua petunjuk buktikan Mesir di bawah el-Sisi lebih buruk daripada era Mubarak appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian