Sivarasa masuk masjid: Laporan siasatan diserah kepada Sultan Selangor esok
SHAH ALAM, 25 Syawal 1438H, Rabu – Laporan siasatan berhubung insiden Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa menggunakan ruang solat Masjid An Nur sebagai tempat berpolitik, akan diserahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, esok.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Haris Kasim berkata, laporan siasatan itu telah dimuktamadkan, dan akan menyerahkannya sendiri kepada sultan di istana, esok.
“Saya masih melengkapkan laporan itu untuk memastikan ia kemas dan sempurna untuk diserahkan kepada Tuanku di istana, esok,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata, laporan siasatan itu merangkumi semua bukti dan gambar berkaitan insiden berkenaan termasuk cadangan untuk mengambil tindakan ke atas pihak pengurusan masjid.
“Dia boleh diberi amaran, ditamatkan dari jawatannya atau apa-apa tindakan lain yang dianggar wajar, ia terpulang kepada Tuanku untuk memutuskannya,” katanya.
2 Jun lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa teramat murka dan dukacita dengan tindakan Sivarasa dan turut menitahkan agar tindakan diambil ke atas nazir dan jawatankuasa masjid berkenaan.
Susulan titah baginda itu, Jais menubuhkan satu Jawatankuasa Panel Khas untuk menyiasat insiden berkenaan.
R Sivarasa yang merupakan Ahli Parlimen Subang hadir pada majlis sumbangan sempena bulan Ramadan di Masjid An Nur Kampung Melayu Subang, Shah Alam, dikatakan sebagai mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sivarasa dilaporkan berucap di hadapan mimbar masjid berkenaan berdasarkan kepada gambar yang viral di media sosial.
Turut kelihatan beberapa pemimpin pakatan harapan yang bukan beragama Islam, duduk di saf bersama jemaah lain.
The post Sivarasa masuk masjid: Laporan siasatan diserah kepada Sultan Selangor esok appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan