Sumpahan Sang Kelembai 1MDB terus merebak, kata Kadir Jasin
BANGI, 22 Syawal 1438H, Ahad – Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin bimbang tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), PNB, Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), akan dikerah untuk membeli saham syarikat China.
Ini kerana, firma China yang membeli beberapa syarikat Malaysia berdepan masalah membawa masuk modal, selepas kerajaan China mengenakan kawalan mata wang dan tidak membenarkan rakyatnya membawa keluar modal untuk pelaburan di luar negara.
Mengakui perkembangan ekonomi negara adalah positif seperti dilaporkan, beliau bagaimanapun berkata, pertumbuhannya adalah sederhana iaitu sejak tahun 2000 hingga awal tahun ini ladarnya adalah 4.75 peratus, berbanding pada tahun 80-an dan 90-an lalu.
Katanya, pembahagian kekayaan menjadi lembap menyebabkan jurang pendapatan di antara golongan berada dengan miskin semakin melebar, manakala kenaikan gaji pekerja asing lebih tinggi daripada pekerja tempatan.
“Selain kenaikan gaji yang sederhana dan tidak seimbang, ekonomi kita juga terus mengalami masalah guna tenaga yang lembap. Walaupun kadar pengangguran jatuh sedikit kepada 3.4 peratus dalam bulan April tahun ini – daripada 3.5 peratus tahun lalu – namun bilangan penganggur naik 0.1 peratus kepada 511,900 orang.
“Yang amat membimbangkan ialah kadar pengangguran belia. Perangkaan Bank Negara menunjukkan kadar pengangguran belia telah mencapai tahap 10.7% pada tahun 2015 iaitu tiga kali ganda lebih tinggi daripada kadar pengangguran keseluruhannya,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.
Bekas Ketua Pengarang New Straits Times itu berkata, rakyat sudah biasa mendengar cerita prestasi perniagaan dan harga harga saham Felda Global Ventures (FGV), tetapi baru-baru ini, hal yang sama berlaku kepada tawaran awam permulaan (IPO) syarikat kimia Lotte Chemicals.
A Kadir berkata, selepas tawaran sahamnya ditolak kerana harga yang dicadangkan dianggap terlalu mahal dan kadarnya diturunkan berapa kali, ia mula diniagakan di Bursa Malaysia tetapi harganya merosot sehingga memaksa bank pelaburan, Maybank IB, membeli lebih 17 juta unit bagi menyekat kejatuhan seterusnya.
“Sekarang kita dengar pula berita bahawa syarikat tenaga antarabangsa, Edra Global Energy Berhad milik negara China, akan membuat IPO di Malaysia untuk mencari modal. Edra ini dulu milik 100 peratus 1MDB. Tapi apabila 1MDB kesesakan wang ia dijual kepada China General Nuclear Corporation (CGNC) dengan alasan kononnya syarikat China itu akan membawa masuk modal.
“Tapi nampaknya sumpahan Sang Kelembai 1MDB terus merebak. Kerajaan China mengenakan kawalan mata wang. Pelabur China tidak dibenarkan membawa keluar modal. Jadi Edra milik China terpaksa cari modal di negara kita. Hebat. Kerajaan jual harta negara kepada mereka dan mereka pinjam daripada kita untuk membayarnya. Edra bercadang menjual saham bagi mendapatkan modal sebanyak RM2.16 bilion hingga RM4.32 bilion.
“Bila 1MDB beli penjana elektrik bebas (IPP), ia RM12 bilion tapi dijual kepada China pada harga lelong tidak sampai RM10 bilion. Pelik tetapi benar.
“Inilah contoh kebimbangan yang saya sebutkan berulang kali iaitu negara kita mungkin sedang mengalami kelemahan sistemik atau, sudah mula menderita kegagalan sistemik yang dicetuskan oleh gabungan ekonomi dunia tidak menentu dan skandal-skandal besar melanda negara seperti 1MDB dan rasuah yang semakin meningkat,” katanya.
The post Sumpahan Sang Kelembai 1MDB terus merebak, kata Kadir Jasin appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan