Tugas penganut Kristian adalah mengkristiankan seluruh dunia
Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin
KOTA BHARU, 28 Syawal 1438H, Sabtu – Ancaman kristianisasi adalah satu ancaman yang benar-benar bahaya dan perlu dibanteras oleh semua pihak.
Pendakwah Indonesia, Ibu Irene Handono mendedahkan, agenda mengkristiankan seluruh dunia sudah termaktub di dalam kitab suci agama itu.
“Di dalam Injil Matius mahupun Markus, di situ secara terkesinambungan dinyatakan bahawa tugas mereka umat Kristian adalah untuk menyebar ke seluruh dunia dan untuk mengkristiankan seluruh dunia,” katanya.
Beliau yang dilahirkan dalam keluarga Kristian Katolik dan kemudian memeluk Islam pada tahun 1983 memetik Surah Al-Baqarah, ayat 120 yang menyatakan bahawa orang Yahudi dan Kristian selama-lamanya tidak akan reda kepada umat Islam sehinggalah umat Islam menuruti millah (agama) mereka.
“Ertinya dua golongan ini tidak akan pernah berhenti berjuang untuk memurtadkan umat Islam. Mereka itu mempunyai visi dan misi tersendiri (iaitu menyebarkan agama Kristian ke seluruh dunia),” katanya ketika berucap di Seminar Dakwah Antarabangsa di Kota Darul Naim di sini malam tadi.
Ibu Irene juga membidas dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan tidak semua orang Kristian mahu menyebarkan agama itu ke seluruh dunia.
“Ada orang kata rakan Kristian saya tidak pernah mempengaruhi saya masuk Kristian. Jawabnya, orang Islam pun tak semua yang solat. Tapi muslim yang taat, dia mesti solat.
“Demikian juga orang Kristian, mereka diperintahkan untuk mengkristiankan dunia tapi tak semua yang buat. Ramai yang Kristian hanya pada identiti sahaja, tetapi kita tidak boleh mengabaikan ancaman kristianisasi yang mahu mengkristiankan dunia kerana ia satu kewajiban agama mereka,” katanya lagi.
Dalam pembentangannya, Ibu Irene berkongsi beberapa video klip yang menunjukkan usaha-usaha kristianisasi di Indonesia yang menggunakan tiga pendekatan iaitu agama, budaya dan cara fikir.
“Ada orang Kristian yang penampilannya seperti orang Islam, ada juga kitab Injil yang berbahasa Melayu, perayaan Hari Natal ditukar nama menjadi Maulid Isa Alaihis Salam. Terdapat juga al-Quran menggunakan lenggok Jawa dan orkestra. Ini antara pemurtadan yang berlaku melalui budaya,” katanya.
Justeru, beliau menyeru umat Islam melakukan empat perkara bagi membanteras ancaman kristianisasi.
“Pertama, banyakkan membaca dan mengkaji mengenai agama mereka. Kedua, lakukan amar makruf dan nahi mungkar. Ketiga, meramaikan pendakwah di kalangan wanita. Terakhir, mulakan dakwah itu dengan diri sendiri dan keluarga terlebih dahulu,” katanya.
The post Tugas penganut Kristian adalah mengkristiankan seluruh dunia appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan