Wabak rabies sukar dijangka bila berakhir
KUALA LUMPUR, 1 Zulkaedah 1438H, Selasa – Penularan wabak rabies atau anjing gila yang telah meragut lima nyawa tidak dapat dijangka bila pengakhirannya.
Bercakap perkara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, ini kerana anjing yang dijangkiti rabies mungkin berkeliaran ke tempat lain.
“Kebiasaannya, merujuk kes lampau, wabak rabies ini boleh dikawal, namun kita tetap bimbang anjing yang dijangkiti rabies ini keluar dari Serian dan bergerak ke bandar lain.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar sudah melancarkan operasi besar-besaran mengenal pasti anjing gila berkenaan bukan sekadar di kawasan penularan wabak, tetapi juga membabitkan seluruh kawasan sempadan Sarawak,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Biasiswa Presiden, di sini, malam tadi.
Setakat semalam, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) telah menyuntik vaksin kepada 17,844 ekor haiwan kesayangan .
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, daripada jumlah itu, anjing merupakan haiwan terbanyak diberikan vaksin iaitu sebanyak 10,204 ekor diikuti kucing (7,595 ekor) dan lain-lain haiwan 45 ekor.
Manakala di Kuala Sepetang pula, sebanyak 366 ekor haiwan peliharaan terdiri daripada 127 ekor anjing dan 239 kucing diberi suntikan vaksin.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, JPV Perak juga melupuskan 78 ekor anjing terbiar dalam tempoh sama selain mengambil sampel daripada haiwan itu untuk dianalisis di Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh.
The post Wabak rabies sukar dijangka bila berakhir appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan