‘Apa sudah jadi dengan Hanipa Maidin pemimpin parti PAN’

 

BANGI, 10 Rabiulawal 1439H, Rabu – “Apa yang sudah terjadi kepada Hanipa Maidin? Ke mana perginya Hanipa Maidin yang dulu?”

Demikian persoalan dilontarkan Pengarah Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, berikutan kontroversi pemimpin parti PAN yang juga Ahli Parlimen Sepang itu berhubung isu membela ateisme.

Beliau turut berasa hairan dengan pendirian Hanipa sebelum ini, terutama ketika berada di dalam PAS, yang begitu lantang memperjuangkan hukuman bunuh ke atas umat Islam yang murtad.

Bagi, Dr Kamarul, Hanipa kini bukan sahaja tidak lagi berani memperkatakan mengenai kemurtadan anak muda Melayu atau penyebaran ateisme di kalangan mereka, malah mengatakan ateisme dilindungi oleh prinsip kebebasan beragama di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hujah bahawa ateisme dilindungi Perlembagaan Malaysia adalah menyimpang daripada fakta sebenar kerana Mahkamah Persekutuan di dalam beberapa keputusannya jelas tidak berpendapat demikian, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Saya sebenarnya sangat hairan bagaimana seorang peguam berpengalaman seperti Hanipa Maidin, yang sebelum menyertai PAN dahulu selalunya akan mengalaskan pendapat perundangan beliau dengan bukti perundangan, gagal untuk melakukan perkara sama di dalam isu ini.

“Beliau bukan setakat gagal menjelaskan kenapa, menurut beliau, pandangan “ateisme bukan satu agama” adalah asing kepada idea perlindungan keperlembagaan, malah gagal menjelaskan kenapa ia adalah asing dengan konsep kebebasan beragama yang terkandung di dalam al-Qur’an.

“Sangat menyedihkan sekali jika perubahan sikap Hanipa Maidin ini adalah berpunca kerana mahu dilihat selari dengan pendirian pemimpin parti seperti DAP, atau semata-mata kerana mahu mengekalkan kerusi PAN yang dimenangi di atas tiket PAS, khususnya kerusi Parlimen Sepang,” katanya.

Mengimbau kembali suatu masa dahulu, Dr Kamarul berkata, ketika Hanipa masih berada di dalam PAS, beliau kelihatan sering mengalaskan hujah kenapa hukuman bunuh ke atas murtad di dalam Islam tidak bertentangan dengan kebebasan beragama dengan cara memberikan bukti seperti ayat al-Qur’an.

“Membaca tulisan Hanipa Maidin mengenai isu ateisme ini dan membandingkan tulisan ini dengan pelbagai tulisan beliau sewaktu masih berada di dalam PAS akan membuatkan kita di dalam kebingungan: Apa yang sudah terjadi kepada Hanipa Maidin? Ke mana perginya Hanipa Maidin yang dulu?

“Hanipa Maidin bukan tidak tahu bahawa yang mula-mula membangkitkan isu ateisme ini ialah rakan beliau sendiri, iaitu Ketua AWAN PAN, Dr Siti Mariah Mahmud, yang meluahkan kegusaran masyarakat kerana kebanyakan yang terlibat dengannya adalah anak-anak muda Melayu.

“Apa pun, bagi saya, hujah Hanipa Maidin bahawa ateisme dilindungi oleh prinsip kebebasan beragama di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah menyimpang dari fakta sebenar kerana Mahkamah Persekutuan di dalam beberapa keputusannya jelas tidak berpendapat demikian,” katanya.

The post ‘Apa sudah jadi dengan Hanipa Maidin pemimpin parti PAN’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian