ASEAN mahu Korea Utara lucutkan program senjata nuklearnya
MANILA, 25 Safar 1439H, Selasa – Para pemimpin ASEAN yang bimbang dengan situasi di Semenanjung Korea menggesa Korea Utara untuk melucutkan program senjata nuklear sepenuhnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan pada Selasa berkata mereka juga mahu Korea Utara untuk kembali semula ke meja rundingan bagi memastikan keamanan dan kestabilan di rantau itu.
Najib, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir hari ini, berkata kebimbangan itu disuarakan beliau dan pemimpin lain semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan yang dihadiri oleh Presiden Korea Selatan Moon Jae-in pada Isnin.
Dari segi ekonomi, Najib berkata pemimpin ASEAN telah menekankan bahawa usaha dan kerjasama jitu perlu ditingkatkan bagi memastikan sasaran nilai perdagangan US$200 bilion antara Korea dan ASEAN dapat dicapai menjelang tahun 2020.
“Para pemimpin turut menyentuh mengenai potensi untuk meningkatkan integrasi ekonomi antara mereka setelah perjanjian FTA ASEAN-Korea Selatan dapat dimuktamadkan,” katanya.
Berhubung pertemuan dua hala beliau dengan rakan sejawatnya dari Jepun, Shinzo Abe yang berlangsung di sini Ahad, Najib berkata kedua-dua mereka telah membincangkan beberapa perkara, termasuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-Singapura (HSR).
Perdana menteri berkata beliau telah memberitahu Abe bahawa Malaysia akan membuka tender untuk pihak-pihak yang berminat untuk membida dan ia akan mempertimbangkan bidaan tersebut secara menyeluruh.
Proses pengambilan tanah projek itu bermula 1 Nov, sekali gus membuka jalan bagi proses pembidaan yang dijangka bermula menjelang akhir tahun ini.
Projek infrastruktur sepanjang 350 kilometer itu dijangka menarik pembida antarabangsa bagi merebut projek kereta api laju melintas sempadan yang pertama di Asia Tenggara, yang telah ditandatangani antara Malaysia dan Singapura Disember tahun lalu.
Najib juga berkata mereka ada membincangkan kerjasama di dalam industri halal, dan Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Jepun terhadap sumbangan dua kapal kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. – Bernama
The post ASEAN mahu Korea Utara lucutkan program senjata nuklearnya appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan