Gagal kemuka penyata kewangan, Kedah tak layak ke Piala AFC 2018

Pahang calon terbaik ganti Kedah dalam saingan Piala AFC 2018

KUALA LUMPUR, 30 Safar 1439H, Ahad – Juara Piala FA, Kedah, sah tidak akan beraksi dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) gagal melepasi syarat pelesenan dalam tempoh masa yang ditetapkan AFC.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam kenyataan bersama Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), berkata keputusan tersebut dibuat selepas KFA gagal mengemukakan penyata kewangan beraudit.

Penyata kewangan berkenaan merupakan kriteria wajib untuk dimuat naik ke dalam Sistem Pentadbiran Pelesenan Kelab AFC (CLAS) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM untuk diteliti.

“Sudah jelas dan nyata hanya kelab-kelab yang memenuhi kriteria ditetapkan dalam peraturan mengikut tarikh akhir yang telah ditentukan oleh FAM akan diberikan lesen (AFC dan kebangsaan).

“Sehingga tarikh berkenaan, Kedah tidak menghantar penyata kewangan beraudit mereka yang merupakan kriteria wajib. Ini bermakna, dengan tarikh akhir ditetapkan sistem CLAS dan tarikh FIB bersidang sudah dilewati, tiada pasukan dibenarkan untuk memuat naik apa juga dokumen tambahan,” jelas Hamidin.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keputusan untuk tidak memberikan lesen AFC kepada KFA adalah mengikut peraturan yang ditetapkan AFC, sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak kononnya Kedah tidak diberikan layanan yang adil oleh FAM.

“Andai Kedah diberikan Lesen AFC dan dicalonkan untuk ke Piala AFC, kemungkinan audit daripada pihak AFC bakal mendapati yang lesen telah diberi secara salah dan FAM akan dikenakan hukuman.

“FAM dan FMLLP sama-sama berharap tiada sebarang teori konspirasi atau khabar angin mengatakan yang Kedah tidak diberi layanan yang adil. Kami sendiri cukup berharap yang Kedah akan dapat mengambil bahagian dan berjaya,” katanya.

Beliau menjelaskan FAM dan FMLLP secara kolektifnya bertanggungjawab menguruskan sistem pelesenan kelab di Malaysia dengan FAM berperanan sebagai pihak yang memberikan lesen kelab sementara FMLLP pula bertindak sebagai pihak pentadbir pelesenan kelab.

Pahang dilaporkan merupakan calon terbaik untuk menggantikan Kedah dalam saingan Piala AFC musim depan berdasarkan kejayaan mereka menduduki tempat kedua dalam saingan Liga Super pada musim ini. – Bernama

The post Gagal kemuka penyata kewangan, Kedah tak layak ke Piala AFC 2018 appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian