Hariri ‘dipaksa’ letak jawatan kerana gagal tangani Syiah Hezbollah

Saad Hariri bertemu Raja Salman Bin Abdulaziz Al-Saud selepas meletak jawatan Perdana Menteri Lubnan, 4 November lalu. – Gambar Reuters

BEIRUT, 23 Safar 1439H, Ahad – Sejak pesawat yang membawanya menyentuh landasan di Arab Saudi, Jumaat lalu, Saad Hariri berada dalam kejutan.

Tiada barisan putera diraja atau pegawai kementerian, yang seperti biasa akan menyambut Perdana Menteri sesebuah negara yang melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Arab Saudi, Raja Salman Bin Abdulaziz Al-Saud, kata sumber kanan yang rapat dengan Hariri, ahli politik Lubnan dan pegawal keselamatan.

Telefon bimbitnya dirampas, dan sehari kemudian beliau ‘dipaksa’ meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Lubnan dalam kenyataan menerusi stesen televisyen milik Arab Saudi.

Tindakan Hariri itu meletakkan semula Lubnan berdepan cabaran memilih di antara Arab Saudi yang mewakili Sunnah dan Syiah Iran.

Pertelingkahan Sunnah dan Syiah telah meliputi konflik Iraq, Syria dan Yaman, apabila kedua-duanya menyokong pergerakan pejuang berasingan, dan kini berisiko menyebabkan keadaan tidak stabil di Lubnan, di mana Riyadh telah lama berusaha memecahkan kumpulan Hezbollah yang menjadi proksi Iran dan sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

Sumber yang rapat dengan Hariri berkata, Arab Saudi telah memutuskan bahawa Perdana Menteri – sekutu lama Riyadh dan anak kepada bekas Perdana Menteri Rafik Hariri yang dibunuh pada 2005 – mesti melepaskan jawatan kerana tidak bersedia berdepan Hezbollah.

Pelbagai sumber Lubnan berkata, Riyadh berharap dapat menggantikan Saad Hariri dengan abangnya, Bahaa sebagai ahli politik terkenal Sunnah. Bahaa dipercayai berada di Arab Saudi, dan anggota keluarga Hariri juga sudah diminta datang ke Riyadh bagi menyatakan sokongan kepada Bahaa, tetapi sesetengahnya enggan berbuat demikian.

“Apabila pesawat yang membawa Hariri mendarat di Riyadh, beliau menerima mesej bahawa sesuatu akan berlaku. Tiada sesiapa yang menunggunya,” kata sumber kepada agensi berita Reuters.

Arab Saudi sebelum ini menafikan memaksa Hariri meletak jawatan. Bagaimanapun, Reuters gagal mendapatkan kenyataan rasmi mengenai situasi ketika Hariri tiba, sama ada telefon bimbitnya dirampas, atau racangan menggantikannya dengan Bahaa.

Sejak mengumumkan peletakan jawatannya, Hariri tidak membuat sebarang kenyataan, dan tidak dapat dipastikan sama ada akan kembali ke Lubnan atau tidak.

Terdahulu, Hariri menerima panggilan telefon supaya menghadap Raja Salman pada malam Khamis, 2 November lalu, sebelum berlepas ke Riyadh keesokkannya.

Sebelum berlepas ke Riyadh, Hariri memberitahu pegawai-pegawainya bahawa mereka akan meneruskan perbincangan pada Isnin. Hariri juga memberitahu media bahawa beliau akan bertemu mereka di sebuah resort di Sharm el-Sheikh di Laut Merah, di mana beliau akan bertemu Presiden Mesir, Abdel Fatah el-Sisi, pada Forum Belia Sedunia.

Hariri dilaporkan menginap di rumahnya di Riyadh. Keluarga mereka sudah lama mempunyai hartanah di Arab Saudi.

Sumber itu berkata, Hariri juga menerima panggilan telefon supaya bertemu Putera Mahkota Mohammed Bin Salman, Sabtu, 4 November.

Selepas menunggu selama empat jam, beliau kemudian membuat pengumuman mengejutkan dalam ucapan menerusi televisyen.

Hariri kerap melawat Arab Saudi. Dalam satu lawatannya sebelum ini, Putera Mahkota Mohammed mengatur pertemuan Hariri dengan pegawai kanan perisikan Arab Saudi dan Menteri Hal Ehwal Teluk, Thamer al-Sabhan – individu penting Arab Saudi berkaitan Lubnan.

Hariri kemudian kembali ke Beirut seperti biasa. Beliau berswafoto dengan Sabhan dan memberitahu pegawainya beliau mendengar berita daripada Putera Mahkota Mohammed bahawa Arab Saudi akan menghidupkan semula pakej bantuan ketenteraan kepada Lubnan.

Sumber berkata, Hariri percaya beliau telah meyakinkan pegawai Arab Saudi mengenai keperluan meneruskan kerjasama dengan Hezbollah demi kestabilan Lubnan.

Hezbollah yang disokong Syiah Iran mempunyai sayap bersenjatanya yang kuat, selain kedudukan dalam Parlimen dan kerajaan. Usaha Arab Saudi melemahkan kumpulan itu di Lubnan sejak berdekad lalu menyebabkan pertelingkahan antara Sunnah dan Syiah sehingga Hezbollah mengambil alih Beirut.

“Apa yang berlaku dalam perbincangan itu, saya percaya, Hariri menyatakan pendapat dan kedudukannya mengenai cara bagaimana untuk berurusan dengan Hezbollah di Lubnan – konfontasi akan menyebabkan keadaan tidak stabil di dalam negara.

“Saya percaya mereka (Arab Saudi) tidak gembira mendengar pengakuan Hariri. Bagi Arab Saudi, ia adalah satu pertelingkahan yang benar-benar wujud. Hitam atau putih,” kata sumber itu.

Sumber Beirut pula berkata, Presiden Lubnan, Michel Aaun, yang juga sekutu kuat Hezbollah, memberitahu duta negara asing bahawa Arab Saudi telah menculik Hariri.

Dalam ucapan peletakan jawatannya, Hariri melahirkan kebimbangan akan menjadi mangsa pembunuhan dan menuduh Iran serta Hezbollah cuba menunjukkan kuasa di rantau itu.

Peletakan jawatan Hariri dibuat tatkala Arab Saudi melancarkan kempen besar-besaran membanteras rasuah dengan menangkap lebih 500 individu, termasuk putera raja, menteri, bekas menteri, timbalan menteri, ahli perniagaan terkemuka dan pegawai kerajaan.

Pada mulanya, ada spekulasi bahawa Hariri juga menjadi sasaran kempen itu kerana kepentingan perniagaan keluarganya di Arab Saudi. Namun, sumber yang rapat dengannya menafikan, sebaliknya berkata, ia adalah langkah Riyadh untuk bertindak ke atas Tehran.

Selepas mengumumkan peletakan jawatannya, Hariri dibawa bertemu Raja Salman. Beliau kemudian terbang ke Abu Dhabi untuk bertemu Putera Mahkota Mohammed Bin Zayed, sekutu kuat Arab Saudi, sebelum kembali ke Riyadh.

Sumber berkata, sambil mengenakan tahanan rumah ke atas Hariri, Arab Saudi juga berusaha melobi perubahan kepemimpinan Pergerakan Masa Depan pimpinan Saad untuk melantik Bahaa sebagai pemimpin, tetapi ditolak.

“Kami bukan ternakan atau kambing atau sebidang tanah yang mana hak miliknya boleh diubah daripada satu tuan kepada tuan lain. Di Lubnan, semuanya berlaku menerusi pilihan raya, bukan janji kesetiaan,” kata Menteri Dalam Negeri Lubnan, Mohad Machnouk. – Agensi

The post Hariri ‘dipaksa’ letak jawatan kerana gagal tangani Syiah Hezbollah appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian