Iktiraf UEC satu penderhakaan kepada rakyat: Kok Seong

MUKKADIMAH

SIJIL Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang menjadi salah satu isu hangat dan desakan daripada Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) agar ianya diiktiraf dalam sistem pendidikan telah mengundang reaksi pelbagai pihak. Malah, isu itu sering mendapat perhatian pemimpin daripada pelbagai latar belakang sama ada mempertahankan atau menentang sistem yang mengambil sukatan pelajaran Taiwan ini. Terbaru, isu UEC telah dibangkitkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dalam Persidangan Agung Tahunan Kelapan baru-baru ini dalam usaha menjaga hak dan objektif Dasar Pendidikan Kebangsaan. Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong menjelaskan lebih lanjut kesan UEC dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Sejauh manakah Prof melihat sistem UEC?

Apa yang saya perhatikan UEC memberi kesan terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan di mana calon-calonnya akan merampas peluang pelajar lain yang mengikuti sistem pendidikan sedia ada, khususnya pelajar berketurunan Cina.

Ini kerana sistem kuota masih terpakai dalam kes-kes tertentu walaupun meritokrasi merupakan amalan standard dalam pengambilan pelajar. Ia perlu diguna pakai untuk mengelak sesuatu kursus itu dipenuhi satu kaum sahaja akibat meritokrasi bebas.

Secara umumnya calon UEC juga akan menjejaskan peluang pelajar Cina yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Pada saya, biarlah UEC terus kekal di atas paksi sedia ada tanpa wujud dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

UEC diasaskan berdasarkan sistem pendidikan di Taiwan. Sehubungan itu,adakah UEC juga boleh memberi kesan kepada Bahasa Melayu dan dilihat sebagai menentang Dasar Pendidikan Kebangsaan?

Apa-apa jenis persekolahan yang tidak berada dalam sistem pendidikan negara perlu dianggap sebagai tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang antaranya mengangkat Bahasa Melayu bahasa pengantar utama.

Dalam hal ini, UEC dikendalikan dalam bahasa lain dan tidak mengikuti silibus Kementerian Pendidikan.

Ini jelas berada di luar sistem pendidikan negara. Sebenarnya semua sekolah menengah atau sekolah tinggi persendirian Cina di negara ini telah diberi peluang untuk menyertai sistem pendidikan kebangsaan sewaktu kita mencapai kemerdekaan. Dalam hal ini, ada yang menyertainya dan ada yang tidak menyertainya dengan menjadi sekolah persendirian Cina yang menawarkan UEC.

Adakah permintaan Dong Zong yang mahu kerajaan mengiktiraf UEC boleh dikatakan sebagai rasis dan menolak sistem perpaduan serta menentang Gagasan 1Malaysia?

Ia tidak boleh dikatakan rasis. Cuma persoalannya kini ialah mengapa sekolah persendirian Cina mahu berada dalam sistem pendidikan di peringkat atas iaitu hanya peringkat pendidikan tinggi? Ini jelas memperlihatkan sikap rakus dan mahu untung dalam semua hal.

Jika dilihat kembali pendidikan aliran Cina sebenarnya telah bermula di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) seterusnya ke sekolah tinggi persendirian Cina di peringkat menengah.

Ia dibuat supaya pelajar dapat terus belajar dalam bahasa berkenaan walaupun mahu ke universiti awam (UA) melanjutkan pendidikan tinggi. Inilah yang dikatakan rakus dan mahu meraih keuntu­ngan pada semua peringkat dan setiap masa.

Apakah kesannya jika UEC diiktiraf dalam sistem pendidikan negara?

Pertama sekali pada saya ia sangat tidak adil kepada pelajar yang cekal dan tabah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan. Jangan khianati golongan seperti ini.

Keduanya, pengiktirafan UEC akan mewujudkan contoh terdahulu seperti peperiksaan lain G.C.E A Level yang telah menerima desakan serupa. Maka kemungkinan akan ada lagi desakan lain demi kepentingan pihak tertentu.

Di samping itu, jika kerajaan mengiktiraf sesuatu perkara yang tiada dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan ia boleh di ibarat seperti ‘menyusu kera di hutan, anak sendiri kelaparan’. Ini tidak adil kepada mereka yang bergelumang dengan sistem yang telah dicemuh banyak pihak sebelum ini. Dalam erti kata lain, jika UEC diiktiraf ia umpama satu bentuk penderhakaan kepada rakyat.

Apakah harapan Prof. dalam memajukan Dasar Pendidikan Kebangsaan?

Sesungguhnya, sistem pendidikan sedia ada tidak mempunyai cacat celanya. Malah ia telah ditambah baik, sama ada untuk pendidikan rendah, menengah dan pendidikan tinggi. Kita harus percaya dan yakin kepada sistem pendidikan kebangsaan yang kita bangunkan sendiri dan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama harus menerima keyakinan daripada rakyat dengan kemampuannya dalam memajukan negara.

Saya berharap Bahasa Melayu akan terus menjadi bahasa ilmu, manakala Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa tidak kurang penting sebagai jambatan ilmu. Inilah sebaik-baik perimbangan untuk terus melindungi martabat bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kita.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net. Artikel ini terlebih dahulu disiarkan dalam Utusan Malaysia, 26 November lalu.

The post Iktiraf UEC satu penderhakaan kepada rakyat: Kok Seong appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian