Islam dan Pendidikan Seks
1. Meneliti portal Kerajaan British berhubung Pendidikan Seks, mereka meletakkan skop pengajian subjek tersebut sebagai pendidikan berhubung pemahaman kepentingan perkahwinan bagi kehidupan berkeluarga, hubungan kasih sayang yang stabil, sikap hormat, kasih sayang dan sikap prihatin (understanding of the importance of marriage for family life, stable and loving relationships, respect, love and care.)
2. Pengajian ini juga merangkumi “reproduction, sexuality and sexual health.” Meletakkan usia 11 tahun (darjah 5 di Malaysia) sebagai usia permulaan pembelajaran, mereka bagaimana pun menegaskan bahawa pendidikan ini tidak seharusnya menggalakkan kepada aktiviti seks. (It doesn’t promote early sexual activity or any particular sexual orientation).
3. Melihat kepada kerangka umum garis panduan yang diletakkan oleh Kerajaan British dalam (Sex and Relationship Education Guidance) ia tidaklah jauh lari daripada apa yang telah digariskan oleh Islam. Perkara ini telah pun dihuraikan oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam dua karya beliau yang bertajuk (مسئولية التربية الجنسية) (Tanggungjawab Pendidikan Seks) dan (الاسلام والجنس) (Islam dan Seks).
4. Melalui karya tersebut Dr Abdullah Nasih Ulwan membayangkan betapa telitinya Islam dalam merungkai gejala zina serta kebejatan sosial di dalam masyarakat. Ia bermula dengan bagaimana Islam menangani pembinaan keluarga Muslim itu sendiri.
5. Isu pembuangan anak dan hubungan seks luar nikah tidak hanya akan selesai dengan kempen safe sex dan pemberian kondom percuma. Ia harus dirawat melalui akar permasalahan iaitu pemahaman masyarakat terhadap hubungan seks itu sendiri.
6. Malah kaedah yang Islam bawa lebih menjurus kepada bagaimana Muslim mengawal kehendak seks mereka. Remaja ditekankan supaya menundukkan pandangan, berpuasa sunat, pemilihan kawan yang baik, mencegah kemungkaran dan banyak lagi pendekatan yang membina jati diri remaja Muslim.
7. Rasulullah dilihat sangat cermat dalam menangani isu ini. Masyarakat jahiliyyah yang sudah terbiasa dengan isu zina dan kebejatan sosial dapat ditangani dan dibangunkan semula. Mereka yang pernah berzina boleh datang dan mengaku kepada Rasulullah secara sukarela tanpa dipaksa bukan buang bayi dan menyorok. Ini berpunca daripada pemahaman yang diterapkan serta keimanan yang ditanamkan oleh Rasulullah.
8. Dalam al-Quran pula, Nabi Yusuf ditampilkan sebagai contoh bagaimana seorang pemuda yang digoda berjaya mengawal kehendak dirinya. Betapa al-Quran menekankan peri pentingnya menjaga kehormatan diri.
9. Penggubalan Pendidikan Seks amatlah diperlukan. Ia walaubagaimanapun perlulah selari dengan kerangka Islam sesuai dengan kedudukan Islam sebagai tonggak asas negara Malaysia.
Dr Ahmad Sanusi Azmin
Pensyarah USIM dan Ahli Majlis Ulama Isma (MUIS)
The post Islam dan Pendidikan Seks appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan