Isma sambut baik syor tubuh jawatankuasa Kabinet perkasa bahasa Melayu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 24 Safar 1439H, Jumaat – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, menyambut baik usaha kerajaan yang mahu mewujudkan satu Jawatankuasa Khas Kabinet Memperkasakan Bahasa Melayu.

Jawatankuasa berkenaan dikatakan akan ditubuhkan untuk memastikan bahasa Kebangsaan itu diutamakan dalam setiap sektor di dalam negara ini.

“Bagus jika ada usaha untuk menaiktaraf penguatkuasa bahasa Melayu. Perlu ada unit khas juga untuk memantau sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil agar bahasa Melayu dihayati seawal sekolah rendah lagi,” kata Presiden Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.

Beliau berkata, pemerkasaan bahasa Melayu sudah sekian lama tidak diberi perhatian sewajarnya oleh generasi yang kagum dengan penjajah, berasa kerdil dan hina kepada bangsa sendiri.

“Mengangkat martabat bahasa Melayu adalah teras perjuangan bangsa Melayu semenjak sebelum merdeka. Namun, ia diambil sambil lewa oleh golongan anglophile yang mendominasi teras kepimpinan negara.

“Jadilah bahasa Melayu terabai sehingga hari ini. 60 tahun merdeka bahasa Melayu jauh daripada matlamat perjuangannya yang asal.

“Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sepatutnya telah lama diberi kuasa penguatkuasaan dalam perlaksanaan dasar bahasa. Janganlah biarkan anglophile menentukan nasib dasar bahasa negara,” tegasnya.

Beliau turut berharap Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid serius dalam pelaksanaan dan menguatkuasakannya secara menyeluruh di setiap kementerian dan agensi kerajaan.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, manakala, Kementerian Pendidikan pula akan bertindak sebagai urusetia.

The post Isma sambut baik syor tubuh jawatankuasa Kabinet perkasa bahasa Melayu appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian