Kuasa tular: Rezeki sambal kacang bilis bantu ringan derita Adam

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 11 Rabiulawal 1439H, Khamis – Tatkala kanak-kanak lain seusianya lincah bermain dan bersekolah, namun berlainan kisahnya bagi Muhammad Adam Redzuan, 6, yang tidak dapat membesar secara normal akibat menghidap lebihan cecair dalam kepala.

Derita anak ketiga pasangan Mohd Nizam Mohamed Hanafi, 35, dan Noor Haniza Mohamed Sidek, 29 itu mula ditanggungnya sejak hampir enam tahun lalu, ketika berusia 3 bulan.

Menurut Noor Haniza, Adam pada awalnya dilahirkan sebagai bayi sihat dan normal, sebelum diserang sawan dan disahkan jangkitan kuman dalam otak.

Dalam nada sebak berkongsi, Noor Haniza berkata, hati ibu mana yang tidak sedih apabila anak yang dikandung dan dilahirkan sihat sebelum ini, terpaksa menanggung derita berkenaan, apatah lagi dengan usianya masih kecil.

Selain dikesan menghidap hidrosephalus, Muhammad Adam turut mengalami masalah saluran darah dalam kepala yang tidak normal dan jangkitan kuman pada paru-paru.

“Sejak daripada itu, Adam tidak seperti kanak-kanak lain. Dia tidak boleh bercakap dan bergerak, sebaliknya hanya mampu terbaring sahaja.

“Sewaktu dia (Adam) berusia 3 bulan, dia disahkan jangkitan kuman dalam otak. Ketika itu keadaan kesihatannya sangat membimbangkan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Noor Haniza kini menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan bagi membantu suami yang bekerja sebagai operator di pelabuhan Gelang Patah, Johor, selain menumpukan perhatian penuh terhadap keperluan dan kesihatan Muhammad Adam.

“Adam memerlukan susu khas yang dijual RM150 setin, dan hanya bertahan untuk 4 hari sahaja. Sebulan dianggarkan kira-kira RM5,000 juga kos untuk susu dan keperluan biasa lain.

“6 bulan sekali, Adam perlu bertemu pakar kanak-kanak dan kepala di Hospital Sultanah Aminah (HSA). Dia juga kerap masuk hospital kerana jangkitan kuman sehingga seminggu,” katanya.

Kisah Muhammad Adam menarik perhatian Ismaweb.net selepas Noor Haniza mengiklankan perniagaan sambal kacang ikan bilisnya di laman sosial Facebook, bagi mengumpul wang membeli kereta dorong (stroller) berharga RM3,600.

“Alhamdulillah, dana untuk membeli stroller Adam sudah mencukupi. Ia juga kuasa viral, sehingga ramai yang membantu dengan membeli sambal kacang bilis saya,” kata Noor Haniza.

Ibu kepada tiga lagi anak iaitu Muhammad Haris Redzuan, 13, Muhammad Farid Redzuan, 12, dan Muhammad Ammar Redzuan, 3, menghargai bantuan pelbagai pihak kerana menyebarkan berkenaan perniagaannya yang sudah mula menerima tempahan di Singapura.

Sekiranya anda ingin memberi sumbangan, salurkan bantuan anda ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 01112241000033034 atas nama Noor Haniza Mohamed Sidek.

The post Kuasa tular: Rezeki sambal kacang bilis bantu ringan derita Adam appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian