Larang bertudung: Kerajaan mesti campur tangan ubah polisi hotel

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 23 Safar 1439H, Ahad – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu memandang serius isu larangan wanita bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk) hotel.

Presiden International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, pihak kementerian perlu mengubah polisi perhotelan supaya tidak mendiskriminasikan pekerja wanita beragama Islam.

Perkara itu juga, katanya, jelas bertentangan dengan Perkara 8 Perlembagaan Negara yang menyatakan bahawa tidak boleh berlaku diskriminasi terhadap jantina.

Bahkan hakikatnya, beliau berkata, pemakaian tudung oleh pekerja wanita langsung tidak mempunyai kaitan dengan pulangan ekonomi hotel.

“Ini kerana, terdapat laporan netizen yang pernah mengunjungi hotel antarabangsa di luar negara, yang mempunyai pekerja Islam bertudung di bahagian kaunter.

“Malah, berdasarkan laporan CEIC Data’s Global Database, prestasi perhotelan di Malaysia mencatatkan kejatuhan dalam kadar penginapan bilik, iaitu 61.90 peratus pada Disember 2017, berbanding 63.60 peratus pada Disember 2014.

“Purata dari tahun 1998-2015 adalah 62.5 peratus. Rekod tertinggi dicatat pada tahun 1990 iaitu sebanyak 72.90 peratus.

“Jadi, polisi antarabangsa agar hanya pekerja wanita tidak bertudung yang berkhidmat di kaunter, yang dikatakan oleh pengerusi MAH ini telah lebih 10 tahun diamalkan, selain bersifat diskriminasi jelas tidak membawa sebarang faedah pun dari segi pulangan ekonomi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebaliknya, Dr Rafidah berkata, jika pekerja wanita dipilih berdasarkan kecekapan dan keupayaan mereka, serta bukannya hakikat mereka bertudung, berkemungkinan besar pihak hotel akan melihat data yang berbeza.

Sebelum ini, sebuah hotel antarabangsa di Petaling Jaya dilaporkan melarang kakitangan wanitanya memakai tudung ketika bertugas sehingga menyebabkan ada daripada mereka terpaksa menanggalkan tudung, dan memakainya selepas waktu kerja.

The post Larang bertudung: Kerajaan mesti campur tangan ubah polisi hotel appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian