OIC seru masyarakat antarabangsa beri perhatian serius kepada isu kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 1 Rabiulawal 1439H, Isnin – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hari ini, menyeru masyarakat antarabangsa termasuk negara anggota, untuk memberikan perhatian lebih serius kepada isu kanak-kanak, terutama mereka yang melalui kehidupan sukar.

Setiausaha Agung OIC, Dr Youssef Al-Othaimeen berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk bekerjasama membantu meringankan penderitaan mangsa akibat persengketaan sivil, konflik dan bencana alam, khususnya kanak-kanak di Palestin dan Rohingya.

“Kewajipan kita semua adalah untuk menjamin kehidupan kanak-kanak yang bebas daripada penderaan dan keganasan, dijadikan buruh paksa serta dijangkiti penyakit kronik.

“Kita perlu memberikan mereka pendidikan berkualiti dan persekitaran yang baik, menanamkan nilai toleransi sesama manusia, memenuhi keperluan kesihatan mental dan fizikal mereka,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Kanak-Kanak Universal, yang dihantar melalui e-mel kepada Bernama hari ini.

Beliau juga mengulangi komitmen OIC, untuk memberikan keutamaan kepada isu-isu kanak-kanak di dunia Islam, sejajar dengan matlamat dan visi keseluruhannya, serta menyeru negara yang belum meratifikasi hak universal kanak-kanak, untuk melakukannya.

Al-Othaimeen berkata, Hari Kanak-Kanak Universal disambut pada 20 November setiap tahun, menjadi satu ruang untuk memperbaharui komitmen terhadap Perisytiharan Hak Kanak-Kanak dan Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak, yang diguna pakai pada tahun 1959 dan 1989.

“Itu semua lebih penting, kerana kanak-kanak adalah anugerah terindah dan harta terbesar yang boleh dimiliki. Mereka juga adalah pemimpin hari esok. Berdasarkan itu masyarakat antarabangsa menggalakkan negara-negara untuk bertindak dalam perkara berkaitan minat dan kesejahteraan kanak-kanak,” katanya.

Al-Othaimeen berkata OIC, isu kanak-kanak merupakan agenda paling utama, sama seperti pihak berkepentingan lain.

Pada sesi keempat Persidangan Menteri-Menteri Islam mengenai kanak-kanak pada 2013 di Baku, Azerbaijan, para peserta menerima pakai pelan tindakan untuk menangani isu berkaitan hak pendidikan dan penjagaan kesihatan kanak-kanak, perlindungan terhadap penderaan, keganasan, buruh paksa dan pemerdagangan kanak-kanak.

Sehubungan itu, persediaan sedang dilakukan untuk penganjuran sesi kelima persidangan tersebut, anjuran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam, di Rabat, Maghribi, pada 18 hingga 19 Disember, bertemakan “Together for a Safe Childhood”.

Menerusi persidangan itu, negara anggota OIC akan menyatakan komitmen mengenai hak kanak-kanak untuk pembangunan fizikal, intelektual dan psikologi, termasuk penjagaan perubatan serta psikologi, terutamanya terhadap kanak-kanak yang tinggal di zon perang dan konflik.- Bernama

The post OIC seru masyarakat antarabangsa beri perhatian serius kepada isu kanak-kanak appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian