Pemenang Sayembara Puisi: WARKAH DARI PERANTAUAN

 

 

 

Oleh: Suhailah Sukri, Pemenang Tempat ke-5 Sayembara Puisi Merdeka anjuran bersama Malaysian Cultural and Language Society (MALECS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka

 

“Ladies and gentleman, the next stop would be Stockport”

Ahh! Dah Stockport ni, berapa lama lagi nak tunggu! Monologku sendiri.

Sebenarnya dari stesen Manchester Piccadily lagi aku cuba memberanikan diri untuk menegur seorang wanita tempatan berambut perang yang duduk bersebelahan denganku. Sejak musim Islamophobia yang kian menular dalam kalangan masyarakat Eropah, aku melatih diriku untuk meminta izin terlebih dahulu dengan sesiapa sahaja yang duduk bersebelahan denganku, baik semasa di dalam bas, kereta api mahupun di atas kapal terbang.

Memang aku tidak mampu untuk menyekat gelombang Anti-Islam yang kian menebal dalam kalangan masyarakat Barat, ditambah pula dengan insiden keganasan yang bertalu-talu di kota London, Paris dan yang paling terkini, di kota Barcelona, tetapi aku yakin tindakan kecil aku ini sekurang-kurangnya dapat mengubah persepsi mereka terhadap Islam.

Selepas beberapa minit mengumpul kekuatan, akhirnya aku memberanikan diri untuk menegurnya…

“Sorry, do you mind if I pray here?”

“Oh darling, of course you can. Do you need some extra space?”

“No I’m alright, thank you”

Begitulah selalunya dialog yang berlaku. Mengikut pengalaman aku sendiri, tidak pernah ada lagi sebarang cubaan untuk menghalang aku untuk menunaikan hasratku, bahkan mereka cukup menghormati hak aku. Begitulah masyarakat Britain, sangat menitikberatkan hak asasi manusia.

Hiruk-pikuk suasana dalam kereta api yang dipenuhi dengan manusia separa sedar sudah menjadi perkara biasa buatku, lagi-lagi pada malam minggu. Aku terus mengangkat takbir tanpa mempedulikan suasana yang bingit itu.

Masyarakat Britain yang pada siangnya kusanjung tinggi kerana budaya mereka yang sentiasa mementingkan profesionalisme dan fikiran yang terbuka, sungguh berbeza perwatakannya apabila langit bertukar malam.

Kadang-kadang, terbit juga sedikit rasa gentar untuk menunaikan solat sewaktu bertembung dengan kumpulan seperti ini tetapi aku sentiasa berpegang dengan pesanan naqibahku;

“Surah Al-Baqarah, ayat 238 dan 239. Ingat tau dua ayat ni. Masih jatuh hukum wajib untuk kita tunaikan solat walaupun waktu itu kita dalam keadaan takut. Yakinlah andai hati kita ikhlas untuk tunaikan tanggungjawab kita sebagai hamba, inshaAllah Allah akan mudahkan”

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Disini aku sudah terbiasa untuk solat dimana-mana sahaja, baik sewaktu melancong ke negara Eropah yang berdekatan mahupun di dalam bumi ratu ini sendiri. Masih kuingat momen sewaktu kami bersolat di atas salji di puncak gunung ski di Innsbruck, Austria dan tak kurang mencabar kedinginannya disaat kami sujud di kaki gunung Brecon Beacons, Wales, dan juga solat secara berjemaah di tebing Barry Ireland yang begitu kencang anginnya.

Rasa begitu dekat denganNya. Satu nikmat yang tidak dapat aku ungkapkan dengan kata selain rasa syukur yang tidak terhingga. Aku sering mengingatkan adik-adik yang baru tiba di United Kingdom untuk sentiasa mengambil peluang untuk berjalan (travel) dan mengutip sebanyak mungkin pengalaman baru sepanjang berada disini.

Travel bukanlah sekadar untuk menambah koleksi gambar di Instagram mahupun di Facebook, tetapi bagiku, ini adalah peluang untuk aku merasai sendiri perbezaan hidup masyarakat di sini kerana setiap daripada mereka pasti menjanjikan ibrah dan pengajaran yang berbeza buatku.

Bukankah kita sebagai muslim amatlah digalakkan untuk berjalan di muka bumi ini?

“Berjalanlah dimuka bumi ini, lalu perhatikanlah bagaimana kesudahan orang terdahulu. Kebanyakan mereka adalah orang yang mempersekutukan Allah swt” (Surah Ar-Rum:Ayat 42)

Trip pertama ke Italy telah menemukan aku dengan sekumpulan tukang copet atau lebih dikenali sebagai ‘pick-pocket’ yang menjadikan aku sebagai mangsanya. Waktu itu aku sedang ingin menaiki keretapi bawah tanah (metro) yang berdekatan dengan Colloseum. Syukurlah aku pantas bertindak dengan menepis tangan kanak-kanak yang berusia sekitar belasan tahun itu dan menjerit meminta tolong. Berang dengan kegagalan itu, kanak-kanak tersebut sempat meludah kami sebelum keretapi bergerak pergi meninggalkan mereka bersama pengawal keselamatan yang bertugas.

Trip seterusnya pada musim panas ke Paris telah membuka mataku akan perbezaan budaya masyarakat Eropah yang sedikit kasar berbanding masyarakat di UK. Secara jujur, aku berasa lebih selamat untuk berada di UK. Mungkin sahaja kerana terlalu ramai orang asing yang mencari makan disitu.

Manakala yang masih segar dalam ingatanku sehingga kehari ini adalah trip musim sejuk terakhir bersama Amy kebumi Al-Fateh. Sengaja aku memilih Istanbul kerana aku sudah mulai bosan berjalan ke negara Eropah yang rata-ratanya hanya menjadikan catedhral (gereja besar) dan kubu lama sebagai tarikan utama.

Hampir sahaja trip kami dibatalkan oleh kerana keadaan di Istanbul pada waktu itu yang sedikit bergolak. Namun setelah menghubungi rakanku Seyma yang menetap di Istanbul, beliau menyakinkan kami bahawa keadaan sudah kembali aman.

Sepanjang trip, kami hanya menetap dirumahnya yang terletak di daerah Taksim, tidak lebih 5 minit perjalanan jaraknya daripada stadium bola Taksim yang telah menjadi sasaran pengganas anti-kerajaan sehari sebelum kami tiba di Istanbul.

Indah. Setiap inci kawasan dibumi Istanbul mempunyai sejarah yang dekat dengan diri kita sebagai seorang umat Islam. Bagiku, begitu mudah untuk sesiapa sahaja jatuh cinta akan Istanbul!

Menitis airmataku saat mendengar laungan azan Zuhur yang saling bersahutan di antara Masjid Biru dan Hagia Sophia yang letaknya berhadapan di antara satu sama lain. Disebalik keindahannya, namun aku berasa sedikit terkilan apabila diberitahu oleh Seyma bahawa kebanyakan rakyat di Turki kini tidak lagi memperaktikkan ajaran agama Islam yang sebenar. Memang Istanbul dipenuhi oleh masjid yang gah namun masih ramai yang hanya ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Berjudi dan minum arak secara terbuka bukanlah suatu perkara yang janggal disini.

Siapa tidak kenal, Mustafa Kamal Atartuk, pemimpin yang membawa masuk pemikiran sekularisme ke bumi Turki, sekaligus menamatkan sistem khalifah dalam sejarah pemerintahan kerajaan Islam.

Bukan sahaja bumi yang enggan menerima jasadnya seorang yang digelar sebagai (Bapa Turki) ini, malah seluruh umat Islam dibumi Turki ini turut berdendam dengannya kerana ideologi yang dibawa olehnya sehingga sekarang memberikan kesan yang cukup besar kepada rakyatnya.

Namun syukur, kini Turki mulai bangkit kembali.

Aku sendiri menyaksikan usaha-usaha murni kerajaan di bawah pimpinan Presiden Erdogan untuk mengislamkan kembali bumi tersebut.

Rakyat mereka kini bersatu, menyokong usaha kerajaan untuk mengembalikan kegemilangan

Islam di Turki.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Apa yang berlaku di Turki sedikit sebanyak menyedarkan aku betapa bertuahnya kita di Malaysia, selagimana kita masih mempertahankan agama Islam sebagai agama persekutuan sepertimana yang termaktub dalam undang-undang perlembagaan, selagi itu kita masih bebas mempraktikkan dan menyebarkan ajaran Islam.

Tidak hairanlah sekiranya masyarakat Islam di negara Eropah seringkali memuji negara kita.

“Sister, are you from Malaysia?? Apa Khabar? MashaAllah it’s such a good Muslim country!”

Pujian yang seringkali aku dapat sekiranya mereka tahu daripada mana asal asulku. Boleh dikatakan negara kita adalah sebagai salah satu contoh negara yang mengamalkan agama Islam tetapi masih bergerak maju setanding dengan negara bukan Islam yang lain.

Namun demikian, sama ada dalam keadaan kita sedar atau tidak, pemahaman liberal kian menular dinegara kita. Namakan sahaja gelombang apa..

Liberalisme? Hedonisme? Feminisme?

Sungguh merisaukan.

Aku risau kerana kebanyakan gelombang ini dipelopori oleh bekasan pelajar luar negara yang pulang ke Malaysia dan membawa ideologi sumbang yang boleh merosakkan akidah masyarakat kita.

Kebanyakan mereka keliru dengan budaya dan undang-undang yang diamalkan disini. Mereka gagal untuk memahami bahawasanya tidak semua perkara boleh diterima pakai dengan fikiran yang terbuka, lebih-lebih lagi perkara yang melampaui batas agama.

Usrah.

Usrahlah yang membuka mataku akan betapa tenatnya umat kita yang berada di Malaysia. Saban hari diasak dengan pelbagai cubaan untuk meruntuhkan institusi agama yang kukuh terbina.

Tidak pernah terjangka di logik akal fikiranku, untuk ditemukan dengan dunia tarbiyah di bumi ratu ini.

Siapa kata graduan daripada Al-Azhar sahaja yang bertanggungjawab untuk menyebarkan kebaikan dan mencegah kemungkaran?

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Usai solat, aku mencapai Al-Quran Humaira berwarna oren pemberian sahabat baikku dari kampung. Sepanjang tiga tahun berada United Kingdom, kitab suci inilah yang selalu aku usung kesana kemari.

Wanita yang duduk bersebelahan denganku dari tadi memerhatikan gerak-geriku, sambil tersenyum lalu dia berkata,

“You’re a good young lady. Keep doing what you think is right for you, and have faith!”

Aku yang tersipu malu hanya mampu membalasnya dengan ucapan terima kasih. Aku membelek helaian demi helaian secara rawak, secara tidak sengaja tanganku terhenti pada muka surat 540, Surah At-Talaq, penghujung ayat 2 dan 3.

“Barang siapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan membuka jalan keluar baginya. Dan Dia memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bahagi setiap sesuatu”

Ayat 1000 Dinar.

Ayat yang aku sering jadikan sebagai sumber kekuatanku terutamanya sewaktu zaman belajar. Hatiku seakan terpujuk kembali.

Menjadi tabiatku, andai ditimpa kesulitan, aku gemar untuk membuka helaian Al-Quran secara rawak, kerana aku yakin Allah sentiasa ada solusi terhadap setiap masalah yang aku hadapi. Tanpaku sedar, air mata jernih mulai mengalir dipipiku.

“Hari ni genap sebulan abah dan ma meninggalkan aku, rasanya seperti baru semalam aku bergambar dengan mereka di hadapan Cardiff City Hall sempena hari graduasiku.”

Berat bagiku untuk membuat keputusan, sama ada untuk tetap tinggal dan bekerja disini ataupun pulang ke Malaysia.

Aku tahu betapa beratnya hati mereka untuk berjauhan lagi dariku meskipun sejak berusia tiga belas tahun aku sudah terbiasa berdikari dan hidup berjauhan sendiri.

Jauh dari sudut hatiku, aku rindu ahli keluargaku dikampung, serta ingin sekali mengejar citacita yang aku impikan di Malaysia, meskipun bukan dibidang yang sama, namun apalah sangat cita-cita dunia yang kecil ini jika dibandingkan dengan cita-citaku yang lebih besar, melebihi dunia dan seisinya.

Pengorbanan, hanya yang terpilih sahaja layak.

Bukankah itu satu nikmat?

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Hampir sebulan juga aku cuba untuk menyesuaikan diri ditempat baru. Mana tidaknya, aku sudah cukup selesa selama tiga tahun berada di Cardiff. Bandar kecil yang merupakan ibu negeri Wales, sebuah negara yang cukup simbolik dengan naga merah dan tidak asing lagi dengan dunia rugbinya.

Jauh bezanya dari Southampton, tempat kerjaku, yang merupakan bandar pelabuhan yang letaknya di bahagian barat selatan England (South West). Sebuah bandar yang lebih maju, lebih sibuk dan semestinya lebih besar kawasannya, maka tidak hairanlah rata-rata pelajar disini lebih gemar menggunakan bas berbeza di Cardiff, akumasih mampu berjalan kaki kesana sini.

Oleh kerana bandarnya yang lebih maju, sedikit sebanyak aku dapat merasakan kos hidupnya yang sedikit tinggi berbanding di Cardiff.

Rindu.

Semestinya aku merindui suasana komuniti Melayu di Cardiff.

Rindu kenduri doa selamat, sambutan hari raya, solat hajat perdana sebelum menduduki peperiksaan, BBQ perdana dan sebagainya. Tapi di Southampton juga tak kurang lebih keakraban komuniti Melayunya. Sedar tak sedar, baru beberapa hari lepas aku baru sahaja bertandang kerumah Kak Ija, dihidang dengan roti canai persis di kedai mamak.

Kini aku sedar, betapa aku perlukan komunti Melayu untuk hidup disini.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Sambil mengesat air mata jernih yang mulai mengering dipipi, aku mengeluarkan kertas catatan dan membuat kira-kira.

“Hmm lagi enam ratus pound, mana lagi nak dapat ni” Aku mengeluh sendiri.

Hampir sebulan aku berhempas-pulas mengumpul wang semata-mata untuk membayar visa bagi membolehkan aku untuk bekerja disini. Meskipun ibu-bapaku ingin mendahulukan duit mereka dahulu, aku tetap berkeras untuk berusaha sendiri.

Oleh yang hal demikian, syarikat majikanku terpaksa menangguhkan terlebih dahulu pengambilanku untuk bekerja sepenuh masa selagimana aku masih belum mendapatkan permit yang sah.

Penangguhan kerja ini sedikit sebanyak memberikan impak terhadapku. Elaun terakhir bagi seorang pelajar tahun akhir telah aku terima beberapa bulan yang lepas dan ada yang telah aku gunakan untuk pembiayaan rumah sewa ditempat baru, ditambah pula dengan kos tambang bas yang menelan belanja sehingga ratusan pound dan kos visa itu sendiri juga yang mencecah hampir ribuan pound.

Oleh yang hal demikian, aku nekad untuk mencari pekerjaan sampingan bagi menampung kos hidup sementara aku memperoleh visa yang sah untuk bekerja di bidangku.

Minggu ni aku kena kerja lebih, sampai di Southampton nanti aku akan segera menghubungi Collin” tenang aku memujuk hati ini.

Collin, pengurus di tempat aku bekerja sambilan di hujung minggu sebagai seorang pencuci di sebuah kilang kanta lekap yang letaknya di luar bandar Southampton, kira-kira 40 minit perjalanan menaiki bas.

Sejujurnya, sejak kecil aku tidak pernah mengimpikan untuk bergelar sebagai seorang tukang sapu, tukang cuci dan sebagainya dan siapa sangka, dibumi aku mendapat ijazah ini jugalah aku menyandang jawatan tersebut dengan jayanya.

Minggu sebelum aku ke Manchester untuk menghadiri kursus sebelum memulakan kerja, hampir sahaja aku pitam ditempat kerja. Mana tidaknya, aku harus berulang-alik mengangkut sampah yang dikutip diseluruh bangunan dibawah teriknya matahari musim panas yang seakan tiada langsung tapisannya.

Dari mengemop, mencuci tandas dan koridor diseluruh bangunan sehinggalah kepada pertemuanku dengan mesin yang bergelar hoover ataupun lebih mesra sebagai Harry disini, sebuah mesin yang sama fungsinya dengan penyedut udara.

Ya, sebenarnya sama sahaja…

Sepanjang aku bergelar sebagai seorang pencuci dikilang tersebut, langsung aku tidak pernah berasa rendah diri, jauh sekali berkecil hati dengan orang sekelilingku. Setiap hari, aku disapa mesra oleh pekerja disini. Mereka akan bertanyakan khabarku dan menyarankan aku untuk berehat sebentar sekiranya aku berasa penat.

Waktu bekerja (shift) selama lapan jam yang dimulai seawal 7.00pagi sehingga 3.00petang ini seakan terasa mudah bagiku, mungkin dengan kehadiran teman sekerjaku, Fatima, wanita berumur tiga puluh-an yang berasal dari Sudan ini yang sentiasa menemani dan memberiku tunjuk ajar.

Memang andai ditambah tolak nilai yang dibayar sebagai upah pencuci disini jauh besarnya berbanding di Malaysia, namun jika dibandingkan dengan kos sewa rumah, kos tambang pengangkutan awam disini, memang padanlah dengan jumlah yang diperoleh.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Susahnya hidup dinegara orang setelah tamatnya belajar membuatkan aku teringat akan kisah yang diceritakan dalam sebuah buku berjudul ‘Pelukis Jalanan’ nukilan Teme Abdullah. Kisah penulis bukanlah persis seperti kisahku, namun kegigihannya dan kebergantungannya pada

Yang Satu menjadi penguatku untuk meneruskan langkah.

Pengalaman sebagai seorang tukang cuci juga telah memberikan impak yang besar dalam hidupku. Membesar dalam keluarga yang sederhana tetapi semuanya cukup bagiku membuatkan aku berasa tertunduk malu dengan orang yang lebih jauh susahnya. Sepanjang berkerja disini, aku telah ditemukan dengan remaja-remaja tempatan yang tidak jauh beza umurnya dariku tetapi berbeza sekali pengalaman yang mereka ada berbanding aku yang baru mulai menapak di alam pekerjaan. Kebanyakan mereka sudahpun mulai bekerja sejak berumur belasan tahun, maka tidakhairanlah sewaktu seusia denganku, mereka mulai merancang untuk pembelian rumah, melakukan pinjaman bank, penggadaian dan sebagainya.

Jauh lebih matang dan kedepan fikiran mereka.

Sejak kecil, mereka telah dididik untuk berdikari. Ada yang bekerja semata-mata untuk memenuhi kehendak sendiri, untuk membeli perlatan mekap dan merasai pakaian yang mewah, ada yang bekerja untuk melancong ke seluruh pelosok dunia, dan ada juga yang memang berasal dari keluarga yang susah dan tidak mampu untuk menampung pembiayaan ke universiti.

Satu sudut baru yang baru sahaja aku terokai.

Mungkin kerana selama ini aku lebih banyak bergaul dengan rakan-rakan senegara, tiada ruang dan peluang untuk menyantuni masyarakat sini. Kesal dengan sikap sendiri…

Teringat akan kata-kata indah yang dikongsikan oleh saudara Teme Abdullah,

“Jika diberikan peluang berpatah balik masa, perbetulkan semuanya, mengelak kegagalan berlaku dan hidup dengan selesa, aku akan memilih untuk tidak melakukannya. Kerana pengalaman inilah anugerah bernilai Allah kepadaku”

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Pernah sekali sewaktu belajar, kami berpeluang menganjurkan sebuah program amal yang dinamakan Warming the Souls Cardiff, program amal inisiatif penuntut Malaysia sebagai sebuah platform untuk membantu golongan gelandangan di bandar Cardiff. Kami berpeluang untuk menemubual mereka dan menyingkapi kisah disebalik kesusahan yang mereka alami…

Ada yang dahulunya merupakan seorang usahawan, jatuh bankrup dan terus ditinggalkan isteri dan anak-anak, ada juga yang terlibat dalam kancah dadah dan sebagainya.

Masing-masing mempunyai latar belakang yang berbeza, jadi tidak hairan sekiranya ada sesetengah daripada mereka yang langsung tiada rupa seperti seorang gelandangan tetapi duduk dikaki lima sambil membaca buku.

Budaya yang jarang kita lihat di Malaysia.

Bertitik-tolakkan program itulah, aku berjanji pada diriku untuk sentiasa menghulurkan mana yang termampu bukan hanya sewaktu akaun bankku mencecah ribuan pound sterling, bahkan lebih afdhal lagi sewaktu aku sendiri berada dalam kesempitan, seperti keadaanku sekarang. Bukankah sedekah itu perungkai segala permasalahan?

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki dan membatasi bahagi siapa yang Dia kehendaki antara hamba-hambaNya.” Dan apa saja yang kamu infakkan, Allah akan menggantikannya dan Dialah pemberi rezeki yang terbaik”

(Surah saba’: Ayat 39)

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Ahh! Hampir sejam aku mengelamun rupanya, aduh dari Istanbul singgah ke Cardiff” Aku menekap muka menahan malu dengan wanita rambut perang yang dari tadi melihat gelagatku bercakap seorang diri. Sambil tersengih, aku memandang keluar tingkap.

Padang rumput hijau yang kelihatan seperti dalam cerita kartun kegemaranku, Teletubbies, ditambah pula dengan biri-biri putih yang kelihatan seperti objek pegun yang tidak pernah bergerak, dan langit biru pula dihiasi dengan gumpalan awan putih yang kelihatan seperti gula-gula kapas.

Subhanallah, nian indah pemandangannya. Tak tergambar bagaimana indahnya lagi taman-taman di syurga?

“KROOOOOT!!”

Aduhh! Memalukan!

“Kuat pulak harini dia bunyi’

Omelku sambil menekan-nekan perut yang selalu sahaja mengeluarkan bunyi tanpa permit yang sah, makin menjadi-jadi sejak berada di bumi UK ini. Wanita disebelahku kelihatan sedikit terkejut. Aku sambil menahan malu, terus meminta maaf kepadanya sekiranya bunyi perutku tadi menggangunya.

Memang ada aku bawa bersama sebungkus nasi ikan bakar At-Taiba yang dititipkan oleh Kak Farah, sebagai bekalan untukku sewaktu dalam perjalanan, tetapi aku berasa risau sekiranya baunya terlalu kuat dan mengganggu penumpang lain di dalam keretapi ini.

Pernah sekali aku bawa bekalan nasi putih, telur goreng beserta budu cap ketereh sebagai makanan tengah hari ke tempat kerja, dan rata-rata rakan sekerjaku memuji bau makananku,

“Wow, what do you have for today? It smells so good”

“Oh is it? Thank you very much. Sorry if the smell is too strong”

Dialog yang sama berputar-putar sewaktu makan tengah hari. Yang pasti rakyat Britain memang terkenal dengan sikap mereka yang pandai mengambil hati dan menyusun kata.

Setiap kali aku memanaskan bekalanku, mereka yang lain seakan sudah boleh meneka makanan apa yang aku bawa.

“Rice again, is it?”

Begitulah diriku. Tiga tahun berada disini, lidahku masih lidah Melayu. Hati dan jiwaku juga masih Melayu. Lagu Melayu, radio Melayu.

Bukan aku menolak untuk berjinak dengan masakan Barat, tetapi aku tidak mempunyai sebab untuk tidak memasak makanan sendiri memandangkan stok bahan masakan yang dibawa banyak dari Malaysia, tambahan pula disini begitu mudah untukku mendapat bekalan ayam halal, daging dan sebagainya..

Bukankah masakanlah yang dapat mengubati rasa rindu akan tanah air tercinta?

Percaya atau tidak, ramai dalam kalangan pelajar yang mulai menyemai minat untuk memasak sewaktu menuntut diluar negara, baik nasi dagang, nasi kerabu mahupun asam laksa, semuanya pasti mampu dimasak sendiri di sini.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

“Ladies and gentleman, the next stop would be Southampton Central”

“Ohh dah nak sampai rupanya” kataku sendiri. Aku bingkas bangun lalu bersiap sedia di pintu. Sebelum beredar, aku sempat mengucapkan selamat tinggal kepada wanita tadi.

“Terima kasih kerana bersabar dengan karenahku sepanjang berada dalam keretapi tadi” Bisikku sendiri.

Aku harap dia mampu menyampaikan pada kawan-kawannya tentangku. Meskipun dia mungkin tidak tahu daripada mana asal usulku, tetapi aku yakin, dia pasti tahu apa agamaku hanya dengan melihat tudung bawal yang melitupi dadaku.

Sebarkanlah, walau sepotong ayat.

-TAMAT-

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian