Presiden Mugabe muncul buat pertama kali, sejak tentera ambil alih kuasa
HARARE, 28 Safar 1439H, Jumaat – Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, yang dilaporkan di bawah tahanan rumah, membuat penampilan pertama beliau pada Khamis, sehari selepas pihak tentera dikatakan menguasai negara itu, lapor agensi berita Xinhua.
Gambar Mugabe bertemu Ketua Angkatan Pertahanan Zimbabwe, Jeneral Constantino Chiwenga dan utusan khas Afrika Selatan di kediaman presiden, dipaparkan dalam akhbar rasmi Herald pada Khamis.
Pertemuan itu, juga dihadiri Menteri Pertahanan, Sydney Sekeramayi dan Menteri Keselamatan Negara, Kembo Mohadi.
Mugabe, 93, dilihat berjabat tangan dengan ketua tentera, yang telah mengeluarkan kenyataan pada Isnin, mengatakan usaha menyingkirkan pegawai parti pemerintah kanan harus berakhir “serta-merta”, selepas Presiden tersebut memecat Naib Presiden, Emmerson Mnangagwa, sekutu politiknya selama lebih 40 tahun, atas tuduhan menipu dan tidak setia.
Pemimpin parti pembangkang Gerakan Perubahan Demokratik, Morgan Tsvangirai, mendesak Mugabe untuk melepaskan jawatan dan membuka jalan pilihan raya demokratik diadakan.
“Demi kepentingan rakyat, Robert Mugabe perlu segera meletakkan jawatan,” kata Tsvangirai pada sidang akhbar pada Khamis.
Beliau juga menyeru pembaharuan secara menyeluruh dilakukan sebelum pilihan raya diadakan, untuk memastikan pelaksanaannya boleh dipercayai, bebas dan adil.
Tsvangirai sebelum ini, pernah berkongsi kuasa dengan Mugabe ketika kerajaan perpaduan terbentuk antara tahun 2009 dan 2013.
Pada hari sama, bekas timbalan Mugabe, Joice Mujuru menggesa penyusunan proses peralihan yang membolehkan isu pemulihan ekonomi dan reformasi pilihan raya ditangani berikutan pengambilalihan kuasa oleh tentera.
Mujuru yang kini presiden Parti Rakyat Kebangsaan, dipecat Mugabe pada 2014 kerana didakwa cuba menjatuhkannya.
Beliau juga pernah mengetuai kumpulan pembangkang, sebagai calon presiden untuk pilihan raya 2018.
Gerakan ketenteraan yang berlaku di Zimbabwe mengejutkan masyarakat antarabangsa dan menyeru keamanan di kembalikan agar kestabilan tidak terjejas. – Bernama
The post Presiden Mugabe muncul buat pertama kali, sejak tentera ambil alih kuasa appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan