Saringan awal pastikan pelajar antarabangsa bebas daripada jenayah

CYBERJAYA, 22 Safar 1439H, Sabtu — Kerajaan sentiasa mengambil langkah proaktif iaitu saringan awal kemasukan pelajar antarabangsa bagi memastikan mereka benar-benar kompeten dan layak sebelum dibenarkan melanjutkan pelajaran di negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata pihaknya melalui Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS), Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan pelbagai peringkat saringan akademik dan tapisan keselamatan secara terperinci sebagai syarat utama kemasukan pelajar agar keselamatan awam terjamin.

“Sejak ada saringan awal, kita lihat permohonan palsu oleh pelajar antarabangsa yang terlibat dalam jenayah sudah berkurangan sekarang. Dalam saringan itu, kita akan melihat kepada permohonan pelajar, dan sekiranya tidak layak serta nama mereka ada di dalam senarai interpol, mereka tidak dapat masuk ke universiti di negara ini.

“Kita buat tapisan menerusi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), PDRM dan Jabatan Imigresen pun ada maklumat dan cara sendiri. Pihak interpol juga memberikan kerjasama yang baik dengan kita,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan larian sejauh lima kilometer (km) pada program MQA Run 2017 sempena ulang tahun ke-10 penubuhan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di sini, hari ini.

Mengenai MQA yang menerima sijil piawaian Malaysian Standard (MS) MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) semalam, Idris menyifatkan ia membuktikan bahawa agensi di bawah kementeriannya itu sentiasa berintegriti dan melaksanakan setiap program serta perkhidmatan kepada masyarakat secara telus.

“Pensijilan ini membuktikan kita serius memastikan aspek integriti, telus dan ikhlas dalam agensi-agensi kita,” katanya.

Mengenai MQA Run 2017, Idris berkata, program itu selain bertujuan untuk menggalakkan orang ramai menjalani gaya hidup sihat melalui bersukan, ia juga untuk mendedahkan peserta kepada peranan MQA dan kepentingan akreditasi.

Kira-kira 2,000 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai larian itu yang bermula dan berakhir di hadapan Bangunan Mercu MQA di sini melibatkan tiga kategori merangkumi perlumbaan sejauh 5km, 10km dan 15km.

Turut memeriahkan larian sejauh 5km ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching, Ketua Setiausaha kementerian Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur, Pengerusi MQA, Profesor Emeritus Tan Sri Abu Hassan Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Datuk Prof Dr Rujhan Mustafar.

Dalam satu kenyataan yang diedarkan sempena larian itu, MQA berkata, QSR Brands (M) Holdings Sdn. Bhd, yang turut menjalankan operasi makanan runcit seperti Kentucky Fried Chicken (KFC) and Pizza Hut, selaku penaja emas program larian itu menyalurkan penajaan berjumlah RM30,000 bagi program itu.

Menurut kenyataan itu, pemenang utama bagi kategori 10km dan 15km terbuka lelaki, wanita dan veteran, masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM800 dan RM1,000 berserta plak dan hamper.- Bernama

The post Saringan awal pastikan pelajar antarabangsa bebas daripada jenayah appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian