Siapa untung bila Cina fasih BM?

 

Berhentilah beranggapan bahawa Bahasa Melayu tiada nilai komersial

SIAPA yang untung atau memperoleh manfaat jika orang Cina menguasai dan fasih bahasa Melayu (BM)? Sayakah yang selalu mengingatkan dan disalahkan atau siapa? Sudah tentu orang Cina. Saya hanya menzahirkan nasihat sahaja untuk kebaikan mereka.

Kenapa setiap kali saya menjelaskan realiti BM mereka berasaskan fakta, saya juga yang dimangsakan? Akhbar dan laman sosial mereka sering memutarbelit artikel saya sedangkan niat saya baik?

Saya salah apa? Saya bercakap perkara benar, bukan menipu atau melakukan jenayah. Apakah kita tidak boleh ditegur langsung atas perkara yang sepatutnya ditegur. Saya bercakap pasal pembinaan negara bangsa, bukan membina empayar.
Apa guna empayar kekayaan dan perniagaan tinggi melangit, jika kita miskin dalam pembinaan negara bangsa? Apabila ditanya wartawan satu soalan dalam BM, terus bercakap dalam bahasa lain.

Bandingkan dengan jutawan Cina di Indonesia. Sehingga saya tidak boleh kenal, sama ada dia orang Cina atau orang Indonesia, walaupun sangat jelas dia seorang Cina. Cuba lihat Basuki Thahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok kerana Cinanya iaitu, bekas gabenor Jakarta.

Kenapa beliau sangat disukai oleh orang Indonesia meskipun berketurunan Cina? MCA dan ultra kiasu tolong jawab!

Jika Cina menguasai dan fasih BM, pasti mereka disukai ramai dan pasti rezeki mereka datang mencurah-curah. Psikologi manusia memang begitu bila ada bukan Melayu fasih BM, mereka akan mudah didekati, malah akan dipuji.

Akan keluar kata-kata “pandai sungguh saudara berbahasa Melayu”. Sama seperti orang Melayu pandai berbahasa Cina, sudah tentu mudah didekati dan akan dipuji, “bagusnya kau pandai berbahasa Cina”. Ini realiti dan lumrah.

Saya masih teringat ketika zaman kanak-kanak, apabila kami orang Cina berjumpa dan berbual dalam BM, maka akan ditegur oleh Cina yang lain, “tengok sesama Cina cakap Melayu, tak lama lagi masuk Melayu lah dia”. Dalam maksud, kepada orang Cina jika sesama mereka bercakap BM, itu suatu perkara yang ganjil dan seolah-olah ‘tidak dibenarkan’.

Sama seperti jika orang Melayu bertemu Melayu, bercakap bahasa Cina sesama mereka, akan berbunyilah kata-kata, “bila dia masuk Cina”. Saya pernah mendengar dan terserempak dengan insiden, sesama Cina Muslim berbual dalam bahasa Cina di masjid, tiba-tiba datang seorang Melayu menegur dengan kata-kata “tidak boleh cakap Cina di masjid”. Maknanya, dalam masjid hanya boleh bercakap dalam BM dan Arab sahaja.

Salah faham ini perlu diperbetulkan. Saya tidak boleh bayangkan jika ada masjid di negara ini menyampaikan khutbah dalam bahasa Cina seperti Masjid India berkhutbah dalam bahasa Tamil, mungkin menjadi lebih ganjil. Sebab khutbah dalam bahasa Tamil, boleh dikatakan biasa juga kita dengar, tetapi khutbah dalam bahasa Cina, agak jarang kedengaran kecuali di China.

Begitulah ceteknya kita melihat dan menilai sesuatu perkara berkaitan bahasa, sedangkan menguasai bahasa adalah suatu kredit atau kelebihan.

Justeru, kita perlu rasional apabila saya menegur. Saya menyeru pemimpin Cina, terutama mereka yang suka mensensasikan berita mengenai tulisan saya, marilah kita berdialog dan berdebat, mengenai kepentingan menguasai BM sebagai bahasa perpaduan dalam sebuah negara yang meletakkan kepentingan BM sebagai bahasa negara.

Amat tidak beretika mereka mensensasikan tulisan saya supaya masyarakat membenci saya. Mari kita bersama tegakkan pembinaan negara bangsa dan menyahut harapan pemimpin negara, terutama Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang sentiasa mengingatkan kita semua sebagai rakyat Malaysia yang mahukan perpaduan sentiasa terjalin demi kestabilan dan pembangunan negara bangsa tercinta.

Jika orang Cina menguasai BM, banyak manfaat akan diperoleh, antaranya adalah:

Pertama, mereka akan dapat menguasai BM dan tambahan satu lagi bahasa untuk mereka. Mereka lebih mendahului saranan agama Islam yang mahukan kita menguasai banyak bahasa. Ia memberikan banyak kekuatan daripada kelemahan.

Pergilah bertanya kepada orang Cina yang menguasai BM, apakah keuntungan yang mereka peroleh bila fasih BM? Jika mendiang Lee Kuan Yew masih hidup, juga boleh bertanya kepada anaknya yang menjadi Perdana Menteri Singapura sekarang, apa kelebihan bila fasih BM dan pada masa sama boleh membaca tulisan jawi?

Sesungguhnya orang yang paling beruntung bukanlah orang Melayu, tetapi orang bukan Melayu (Cina atau India) yang hidup dalam negara majoriti Melayu. Jika mereka dapat menguasai BM, paling kurang mereka akan menguasai tiga bahasa, BM, bahasa Inggeris, bahasa ibunda, bahasa dialek mereka, dan bahasa-bahasa lain yang dipelajari.

Orang Melayu hanya dapat menguasai dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, itupun mujur.

Kedua, mereka akan menjadi orang yang mudah didekati dan lebih ‘dipercayai’. Memahami psiki orang Melayu, selalunya mereka amat selesa dengan orang sebegini. Sebab itu, Cina di Kelantan dan Terengganu, kehidupan mereka dengan orang Melayu seperti adik-beradik. Bukan macam masyarakat bandar di sini, penuh dengan prejudis dan prasangka. Depan nampak baik, belakang menikam.

Pergilah bertanya kepada penduduk Sabah dan Sarawak, kenapa perpaduan mereka sangat mantap atau mereka telah mendahului gagasan 1Malaysia? Jawapannya sangat mudah, perpaduan terjalin melalui bahasa, selain toleransi yang lama tersemat. BM adalah medium terbaik mereka. Bayangkan, setiap Bumiputera di sana meminta sekolah mereka sendiri berasaskan etnik?

Bagaimana keadaan Sabah dan Sarawak hari ini? Beruntunglah wahai saudara secinaku di sana, walaupun sangat minoriti berbanding dengan majoriti Bumiputera di sana, mereka masih tidak ada sekolah berasaskan etnik, sedangkan orang Cina ada.

Toleransi apakah ini, jika bukan datang daripada hati yang ikhlas. Sepatutnya, kita tidak layak membina sekolah di sana, sebab kita datang berhijrah, mereka adalah tuan rumah. Namun, inilah realitinya.

Ketiga, bisnes mereka akan menjadi bertambah maju kerana orang Melayu akan menjadi lebih selesa untuk datang ke kedai mereka. Misalnya, kedai adik-beradik saya sentiasa menjadi perhatian orang Melayu, kerana orang Melayu amat selesa dengan adik-beradik saya. Sebabnya, fasih BM.

Begitu juga ketika arwah ibu bapa saya berniaga di kampung Melayu, memang orang Melayu suka dengan kami. Kedai kami sentiasa menjadi perhatian dan kunjungan orang Melayu. Mereka sanggup meninggalkan kedai saudara sebangsa yang turut sama berniaga bisnes kedai runcit.

Tidak perlulah saya bercerita, bagaimana orang Melayu yang berhutang tetapi tidak mahu bayar, mencuri barang kedai kami dan banyak lagi perbuatan yang tidak manis untuk diceritakan di sini. Pendek kata, apabila kita menguasai sesuatu bahasa yang bukan bahasa kita, maka kita akan disenangi.

Sama seperti penyanyi Shila Amzah, apabila beliau berkebolehan menyanyi dalam bahasa Cina, beliau disukai, mudah didekati dan dapat melebarkan sayap hingga ke China. Maknanya, menguasai bahasa mendatang keuntungan bukan kerugian.

Saya tidak fikir Shila Amzah boleh menjadi terkenal di sini hanya berkebolehan menyanyi dalam bahasa Cina. Beliau begitu selesa diterima di China, kerana seorang gadis bertudung berkeupayaan menguasai bahasa Cina. Sudah pasti Cina di China begitu selesa.

Keempat, BM bahasa yang sangat mudah dikuasai. Tidak hairanlah jika pekerja asing seperti Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan Nepal, sangat mudah menguasai BM. Kenapa kepada rakyat bukan Melayu di negara sendiri berasa begitu payah dan mensia-siakannya.

Terkini, ketika mengikuti Seminar Konfucius anjuran Kedutaan China di Malaysia, berlangsung di UniSZA, pembentangnya dari China, bersekali membawa penterjemahnya iaitu Cina daripada China yang menguasai BM dengan baik untuk menterjemahkan kata-katanya. BM penterjemahnya sangat fasih. Kenapa Cina di China boleh menguasai BM dengan fasih, Cina di sini amat sukar? Justeru, bersangka baiklah terhadap BM.

Apabila Kementerian Pendidikan menghantar guru BM dan BI yang tidak ada kredit Mandarin, jangan dihalang atau ditentang mereka. Biarkan mereka terus mengajar, janji mereka profesional dan pakar dalam bidang. Marva Collins pernah berkata, the good teacher makes the poor student good and the good student superior. Proses pencinaan yang keterlaluan perlu dicairkan sedikit.

Tidak mengapalah ‘kurang pandai’ sedikit dalam bahasa ibunda. Anak saya semuanya boleh berbahasa Cina kerana mereka semua datang daripada SJKC, saya melihat itu suatu kredit untuk mereka. Tetapi saya mesti memastikan mereka pandai dalam BM. Sebab, kami anak Malaysia. Kesannya, anak saya mudah didekati dan dimesrai oleh orang Melayu dan Cina.

Kesimpulan, saranan saya datang daripada hati bukan untuk menyakiti. Apa yang saya dapat jika terus menyakiti hati Cina melain permusuhan dan kebencian. Ini tidak baik untuk pembangunan negara bangsa, Malaysiaku tercinta. Lebih-lebih ia tidak memberikan imej yang baik terhadap dakwah.

Tidakkah mereka dapat melihat, tujuan di sebalik setiap artikel yang dituliskan. Siapakah yang untung jika orang Cina fasih berbahasa Melayu? Sayakah yang untung atau siapa? Kenapa tidak disambil sesuatu yang positif setiap kali saya melontarkan idea dan menukilkan kata?

Saya mohon, berhentilah dengan beranggapan bahawa BM tidak ada nilai komersial. BM adalah bahasa negara, bahasa perpaduan untuk kita semua.

Saya juga amat mengharapkan GLC kerajaan seperti TM Points, CIMB dan GLC lain, mendahului mendaulatkan BM bermula sekarang. Sedih sekali mengikuti Perhimpunan Agung MCA selama dua hari baru-baru ini, tidak ada pun pemimpin dan perwakilan mereka membangkitkan akan pentingnya orang Cina menguasai BM seperti yang disaran oleh oleh Sultan Perak, PM dan TPM.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

The post Siapa untung bila Cina fasih BM? appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian