Tentera Zimbabwe nafi lancar rampasan kuasa
HARARE, 26 Safar 1439H, Rabu – Tentera Zimbabwe menafikan pihaknya melancarkan rampasan kuasa terhadap kerajaan Presiden Robert Mugabe, susulan beberapa letupan menggegarkan Harare awal pagi ini.
Kejadian itu berlaku dua hari selepas tentera mengancam campur tangan bagi menamatkan krisis politik di negara itu.
Sejak semalam, beberapa kereta perisai dilihat di jalan raya sekitar Harare hingga menimbulkan persoalan mengenai kedudukan Mugabe yang memerintah negara itu sejak ia mencapai kemerdekaan pada 1980.
Malah, anggota tentera juga dikerah berkawal di Harare, selain dilaporkan sudah menguasai stesen penyiaran tempatan, ZBC, sebelum tiga letupan kuat menggegarkan ibu negara Afrika Selatan itu.
Dilaporkan, bunyi tembakan berkenaan didengari berdekatan dengan kediaman peribadi Mugabe.
Bagaimanapun, jurucakap tentera, Jeneral SB Moyo menolak dakwaan pihaknya sedang melancarkan rampasan kuasa ke atas pemerintahan Mugabe.
Dia turut memberi jaminan kepada rakyat negara itu bahawa Mugabe dan keluarganya berada dalam keadaan selamat.
“Kami hanya menyasarkan penjenayah di sekelilingnya. Sebaik misi ini dicapai sepenuhnya, kami menjangkakan keadaan kembali seperti biasa,” katanya. – Agensi
The post Tentera Zimbabwe nafi lancar rampasan kuasa appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan