Aplikasi media bukan medium rasmi arahan kepada pekerja: MTUC

BANGI, 23 Rabiulawal 1439H, Selasa – Penggunaan pelbagai aplikasi telefon pintar, khususnya WhatsApp dan Telegram membabitkan urusan rasmi tugas, tetapi dilakukan di luar waktu pejabat, memberi tekanan kepada emosi pekerja.

Malah, dalam keadaan tertentu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) melihat penggunaan aplikasi itu tidak sepatutnya digunakan untuk urusan rasmi pejabat.

Presiden MTUC, Abdul Halim Mansor berkata, sekiranya majikan benar-benar memerlukan pekerjanya untuk bekerja, pihak syarikat perlu menghubungi pekerja itu menggunakan telefon atau mengambilnya.

Beliau berkata, apa saja aplikasi media sosial tidak boleh dianggap sebagai medium rasmi, biarpun memudahkan penyampaian mesej.

“Contohnya, apabila kita katakan secara umum, sekarang ini pekerja diberi notis menggunakan WhatsApp untuk datang kerja. Bagaimana pekerja itu, kalau waktu itu dia sedang berehat dan dia tidak menganggap telefon itu sebagai benda yang dia harus tengok setiap masa?

“Dan tiba-tiba dia menerima notis mengatakan tolong datang kerja sekarang. Dan notis itu dikira rasmi. Kerana dalam konteks perhubungan dulunya dah ada undang-undang mengatakan bahawa penyelia syarikat berhak menghubungi pekerja dia untuk memanggil dia datang bekerja, yang mana dipanggil call back.

“Tetapi kita lihat ayat itu, call back, bermakna fizikalnya seseorang itu mesti dipanggil melalui telefon,” katanya dalam laporan khas TV9 berhubung penggunaan pelbagai aplikasi telefon pintar dan media sosial sebagai medium rasmi memanggil atau membincangkan kerja di luar waktu pejabat.

Sehubungan itu, Abdul Halim mencadangkan kerajaan menggubal undang-undang yang lebih jelas dengan mengambil kira perkembangan teknologi terkini.

“Pada saya ada benda yang boleh kita cuba kaji tetapi ada benda yang kita tidak boleh bertolak ansur, kerana menganggu-gugat, walaupun menggunakan WhatsApp.

“Di sini, saya katakan bahawa medium ini sebenarnya baik dari segi keadaan tertentu. Tetapi banyak yang tidak baik dalam konteks rasmi. Bermakna kalau kita tukarkan sesuatu peruntukan perlindungan itu kepada wang maka undang-undang itu tidak cukup,” katanya.

Seksyen 60A (1) Akta Kerja 1955, antara lain menyatakan pekerja tidak boleh diarah bekerja lebih daripada lima jam berturut-turut tanpa rehat yang kurang daripada 30 minit dan lebih lapan jam sehari.

Apa yang menjadi dilema pekerja sekarang ini adalah arahan daripada majikan selepas waktu bekerja menggunakan aplikasi, termasuk WhatsApp, Telegram dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikatakan menganggu emosi mereka.

Laporan itu turut menemubual seorang kakitangan syarikat kewangan yang menganggap arahan majikan melalui WhatsApp, selepas waktu bekerja, menganggu kehidupan peribadinya.

“Sudah menjadi lumrah majikan mengeluarkan arahan menyiapkan kerja di luar waktu pejabat melalui media sosial. Kadang-kadang pekerja sedang bercuti, luang masa dengan keluarga. Kalau ada majikan tanya mengenai kerja pada waktu cuti, pada saya menganggu.

“Menganggu emosi kerana terpaksa memikirkan kerja ketika melakukan urusan peribadi atau keluarga. Menimbulkan salah faham dalam kalangan anggota keluarga kerana masa berkualiti dengan mereka sering diganggu,” katanya yang tidak dinamakan.

The post Aplikasi media bukan medium rasmi arahan kepada pekerja: MTUC appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian