Bekas guru antara 20 ditahan disyaki kumpulan pengganas

Suspek adalah ahli kumpulan Whatsapp ‘The Rise Of Jundullah’ yang merancang menyerang ‘The Better Beer Festival 2017’

KUALA LUMPUR, 4 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Seorang bekas guru sebuah sekolah rendah di Kuching, Sarawak adalah antara 20 individu yang ditahan dalam operasi pada 30 November hingga 15 Disember lalu di Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah, kerana disyaki terbabit dalam kegiatan kumpulan pengganas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, lelaki berusia 46 tahun itu ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada 1 Disember lalu.

“Suspek adalah ahli kumpulan Whatsapp ‘The Rise Of Jundullah’ yang terlibat dalam rancangan serangan ke atas ‘The Better Beer Festival 2017’. Suspek juga turut merancang untuk menyusup masuk ke selatan Filipina bagi menyertai kumpulan pengganas yang beroperasi di situ,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, sehari sebelum itu, (30 November) polis menahan seorang lelaki warga Indonesia di Pontian, Johor yang dipercayai terbabit dalam insiden pengeboman di Bandung pada Julai lepas, sebelum menyusup masuk ke Malaysia bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa Indonesia.

Katanya, suspek berusia 24 tahun itu adalah seorang pemimpin kanan kumpulan Jamaah Ansharut Daulah yang merancang mengumpul dana di Malaysia sebelum berlepas ke Syria untuk menyertai kumpulan Daesh.

Mohamad Fuzi berkata, tangkapan seterusnya dibuat pada 4 Disember lalu di Sandakan, Sabah dengan kerjasama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) membabitkan empat lelaki warga Indonesia berusia 31 hingga 38 tahun.

Beliau berkata, semua suspek memasuki Malaysia secara haram menerusi Tarakan dan Nunukan, Indonesia serta merancang untuk menyusup masuk ke selatan Filipina bagi menyertai kumpulan pengganas di situ.

Katanya, pada 6 Disember, seorang lelaki warga Filipina berusia 50 tahun ditahan di ibu negara kerana dipercayai mempunyai hubungan persaudaraan dengan pemimpin tertinggi kumpulan pengganas Abu Sayyaf Group (ASG).

Suspek disyaki merekrut warga Filipina di sekitar Kepong di sini untuk menyertai kumpulan ASG di selatan Filipina.

Pada 10 Disember lalu, polis menahan enam lelaki tempatan dan lima lelaki Filipina berusia 16 hingga 47 tahun di Sandakan, Sabah kerana dipercayai merancang menyertai kumpulan pengganas di selatan Filipina.

Katanya, pada hari sama, polis menahan seorang lelaki warga Filipina di Masai, Johor kerana disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki pihak berkuasa Filipina berikutan disyaki terbabit dalam aktiviti keganasan di negara berkenaan.

Tangkapan terakhir katanya, membabitkan seorang lelaki berusia 31 tahun dari sebuah negara di utara Afrika di KLIA pada 15 Disember lalu kerana dipercayai terbabit dalam kumpulan pengganas Daesh di Iraq dan Syria.

“Semua suspek yang ditangkap disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya. – Bernama

The post Bekas guru antara 20 ditahan disyaki kumpulan pengganas appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian