Calonkan nama PM tak bercanggah adab Islam

SAYA menulis tentang isu calon nama PM bukan saya nak mencalonkan nama PM. Saya hanya bercakap tentang hukum mencalonkan nama PM secara umum. Ia bukanlah bercanggah dengan adab Islam seperti yang digambarkan oleh sebahagian pihak. Bahkan pihak itu juga sebelum ini pernah mencalonkan nama PM.

Tidak jadi masalah jika kita tidak mahu calonkan nama PM kerana pertimbangan politik kita ia tidak perlu buat masa ini. Namun apabila dikaitkan ia dengan adab Islam maka ia satu isu yang besar dan perlukan dalil dan istidlal yang terperinci.

Sebahagian pihak yang bersetuju dengan kenyataan mencalonkan nama PM itu tidak selari dengan adab Islam mengatakan kenapa ambil kenyataan lama? Saya katakan, isunya bukan lama atau baru. Isunya ialah konsisten dalam pandangan. Kenapa dulu buat dan dianggap selari dengan Islam tapi sekarang bila tak nak buat dianggap orang yang buat tidak selari dengan adab Islam?

Itu saja. Adakah dulu tidak jumpa dalil sekarang jumpa? Atau adakah agama telah jadi bahan mainan sehingga apa saja yang dibuat lalu ditarik agama sekali?

(BERIKUT ADALAH TULISAN AWAL DR USTAZ ROZAIMI RAMLE DALAM LAMAN FACEBOOK BELIAU)

Saya membaca kenyataan seorang ilmuwan yang merupakan presiden sebuah parti di Malaysia yang seolah membayangkan bahawa meletakkan calon PM dan meletakkan Kabinet bayangan bercanggah dengan adab Islam. Antara dalil yang beliau gunakan ialah kisah Bani Amir.

Saya terpanggil untuk memberikan sedikit komentar atas artikel beliau ini. Berikut komentar saya:

1. Penulis membuka bicaranya tentang politik Islam dengan sangat baik. Penulis berjaya menunjukkan keanjalan sistem politik Islam. Hadis yang bermaksud: “pemimpin dari Quraisy” tidak difahami secara literal tetapi ia bermaksud seseorang yang ingin jadi pemimpin perlu mendapat sokongan majoriti.

2. Namun setelah itu penulis seolah membayangkan bahawa adab Islam tidak meletakkan calon PM. Sebab itulah partinya tidak meletakkan calon PM.

3. Penulis menggunakan riwayat Ibn Ishaq berkaitan kisah Bani Amir. Saya bawakan riwayatnya supaya kita sama-sama lihat:

أَرَأَيْتَ إنْ نَحْنُ تَابَعْنَاكَ عَلَى أمْرِكَ، ثُمَّ أَظْهَرَكَ اللهُ عَلَى مَنْ خَالَفَكَ، أَيَكُونُ لَنَا الأَمْرُ مِنْ بَعْدِكَ؟ قَالَ: «الأَمْرُ إلَى اللهِ يَضَعُهُ حَيْثُ يَشَاءُ».

Maksudnya: kata wakil Bani Amir lepada Nabi: apa pandangan kamu jika kami mengikuti kamu dalam urusan kamu, kemudian Allah menangkan kamu ke atas orang yang memusuhimu, adakah kami akan menerima kuasa selepas dari kamu? Sabda Nabi: kekuasaan dari Allah dan Dia akan letakkan pada siapa yang Dia mahukan.

Riwayat ini dinukilkan oleh Ibn Ishaq dan sanadnya terputus dari jalur al-Zuhri.

Jika dilihat ia tidak berkaitan dengan penamaan calon pemimpin. Sebaliknya ia berkaitan dengan isu meminta jawatan. Jika dilihat dari teks ini jelas bahawa Bani Amir sudah dapat gambaran bahawa Nabi akan menjadi pemimpin mereka. Ini seolah mereka sudah dapat gambaran calon pemimpin apabila menang dan membentuk kerajaan nanti. Justeru mereka mahu berkuasa setelah Nabi.

4. Cubaan menggunakan riwayat ini untuk mengatakan menamakan calon pemimpin bukan adab Islam adalah tersasar bagi saya. Perlu diingatkan bahawa ulama tidak sepakat terhadap isu larangan meminta jawatan secara mutlak. Sebahagian ulama memperincikan hukumnya. Ia dibenarkan bagi mereka yang layak. Dan inilah pandangan yang kuat bagi sebahagian pengkaji moden.

5. Saya tidak tahu ke mana penulis ingin bawa pembaca artikel beliau. Ia seakan flip flop. Sekejap berpegang dengan maqasid (objektif) di sebalik hadis sepertimana dalam mukadimahnya. Sekejap mahu berpegang dengan literal hadis yang melarang meminta jawatan.

6. Jika meletakkan calon PM itu dikira sebagai meminta jawatan, mengapa penulis tidak terus sahaja katakan bahawa bertanding dalam pilihanraya juga meminta jawatan dan ia dilarang juga? Bahkan ia lebih direct meminta jawatan dari pengundi.

7. Jika meletakkan calon PM dikatakan menyalahi adab Islam, bagaimana pula dengan meletakkan manifesto? Bukankah kedua-dua isu ini berkait rapat iaitu meyakinkan pengundi tentang visi dan misi parti yang bertanding untuk meraih undi dan keyakinan dari pengundi?

8. Saya ingin tegaskan bahawa isu politik dalam Islam kebanyakannya bersifat ijtihad dan anjal. Oleh itu, khulafa’ Rasyidin juga berijtihad dalam politik. Abu Bakar pernah mencadangkan Umar sebagai pemimpin selepasnya. Adakah Abu Bakar tidak mengamalkan adab Islam? Tidak sama sekali. Ia isu ijtihad.

9. Maka kenyataan yang mengatakan menamakan calon PM bukan adab Islam itu sebenarnya yang menyalahi adab Islam. Jangan digunakan nama Islam untuk tindakan kita sewenangnya kerana bimbang nanti bila kita tukar pandangan nama Islam akan dibawa tukar juga.

Dr Rozaimi Ramle
Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tiada kaitan dengan Ismaweb.net. Artikel ini disiar lebih awal dalam laman Facebook Dr Rozaimi Ramle.

The post Calonkan nama PM tak bercanggah adab Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian