DILEMA BARU MELAYU: AMINUDDIN YAHAYA

MEMBACA buku Dilema Melayu tulisan Tun Dr Mahathir membuka mata ramai pihak terhadap nasib orang Melayu. Buku ini bukan saja mengkritik pemerintah ketika itu malah memaparkan kelemahan-kelemahan orang Melayu yang akibatnya mereka tertinggal ke belakang. Oleh kerana takut orang Melayu akan bangkit melawan kerajaan maka buku ini telah diharamkan untuk beberapa ketika.

Maka sebab itu apabila Tun memegang tampuk pimpinan negara, orang Melayu menaruh harapan begitu tinggi kepada beliau kerana pada ketika itu beliau dianggap oleh orang Cina sebagai ultra-Melayu. Ramai menyangka nasib orang Melayu akan berubah di bawah pimpinan beliau. Malang sekali sangkaan ini jauh meleset apabila nasib orang Melayu terus terpinggir walaupun selepas 22 tahun beliau memerintah.

Dalam ucapan terakhir beliau di Perhimpunan Agung UMNO, Tun sendiri mengaku bahawa beliau gagal membela nasib orang Melayu. Apa yang muncul adalah taiko-taiko Cina yang mengaut segala keuntungan hasil mahsul negara. YTL, Berjaya, Country Heights adalah antara syarikat gergasi yang menonjol di zaman beliau. Walaupun dicuba melantik beberapa orang anak Melayu untuk menerajui GLC namun semuanya berakhir dengan kegagalan.

Mungkin kerana Tun terhutang budi dengan pengundi-pengundi Cina yang menolong beliau untuk menang dalam Pilihan Raya Umum pada tahun 1999 maka diberikan habuan yang lumayan kepada mereka sebagai balasan. Yang rugi tetap orang Melayu.

Nah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan diadakan tidak lama lagi, sekali lagi orang Melayu berada dalam keadaan dilema. Umum mengetahui apa yang terjadi dalam UMNO yang dipalitkan dengan pelbagai skandal. Sejak akhir-akhir ini isu FELDA yang sangat sinonim dengan orang Melayu meruntun emosi orang Melayu. Kritikan demi kritikan dilontarkan oleh pembangkang terhadap BN dan UMNO yang bukan saja gagal mempertahankan malah menghakis sikit demi sedikit hak orang Melayu. Semakin hari semakin ramai yang meluat dengan retorik UMNO.

Namun jika diteliti di pihak pembangkang (PH), perkara yang sama juga berlaku malah dilihat lebih teruk. PH tidak lagi meletakkan Melayu dalam agenda mereka malah dengan penguasaan DAP dalam PH maka nasib bangsa Melayu akan menjadi lebih teruk dan kabur. Ibarat pepatah Melayu berkata “Hanya retak menunggu belah”, “ibarat telur di hujung tanduk”; menunggu masa untuk hancur. Tidak nampak BERSATU atau PKR atau AMANAH yang benar-benar meletakkan Melayu sebagai asas perjuangan walaupun mereka tahu mereka mendambakan undi orang Melayu.

Maka sebab itu hari ini orang Melayu sudah tidak keruan, ibarat anak ayam kehilangan ibunya. Tidak tahu mana satu yang harus diundinya. Di sebelah sini penuh dengan penyelewengan dan rasuah manakala di sebelah sana pula langsung lenyap kemelayuannya. Akhirnya ramai orang Melayu, terutama generasi muda, yang mungkin akan mengambil keputusan untuk tidak keluar mengundi kerana meluat dengan perangai ahli politik Melayu. Cakap berdegar tetapi otak dan jiwa kosong dengan perjuangan bangsa.

Selamat Tinggal Bangsaku !!!

Aminuddin Yahaya
Timbalan Presiden Isma

The post DILEMA BARU MELAYU: AMINUDDIN YAHAYA appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian