ECRL alat Geoekonomi China

Isu semasa

Isu status ECRL dari sudut kewangan yang ditimbulkan oleh Tun Daim kembali menarik perhatian awam terhadap projek tersebut. Jawapan daripada Datuk Seri Abd Rahman Dahlan yang agak mengelirukan menambah lagi tanda tanya mengenai hakikat sebenar projek ECRL. Selain isu kewangan yang dibangkitkan oleh Tun Daim, ECRL sebenarnya turut berdepan dengan pelbagai isu lain misalnya seperti isu pemilikan tanah di sepanjang laluan ECRL, isu kemusnahan hutan berharga, dan lain-lain isu yang kurang mendapat perhatian media awam.

Isu-isu di atas tidak sepatutnya berlaku jika projek ECRL yang menelan belanja besar dengan penglibatan negara luar ini mendapat masa dan ruang untuk dibahaskan sebaiknya di pelbagai peringkat yang berkaitan.

Jika diteliti, banyak perkara yang kabur dan layak menjadi tanda tanya dalam pemeteraian perjanjian membina ECRL dengan kerajaan China. Tiada rundingan sesudah itu antara Malaysia dengan China yang diketahui oleh awam. Kurang setahun daripada pemeteraian perjanjian kewangan dan pembinaan (November 2016), Dato Seri Najib sudah melakukan upacara pecah tanah di Pahang (Ogos 2017). Perbahasan menyeluruh juga boleh dikatakan tidak diadakan di kalangan ahli Parlimen atau dengan kelompok-kelompok awam.

Apa yang kerajaan Thailand lakukan?

Hal ini agak berlainan jika dibandingkan dengan kerajaan Thailand yang semenjak tahun 2014 sehingga kini sudah menjalankan 22 sesi rundingan dengan syarikat China agar tuntutan dan kepentingan negara tidak terjejas dengan projek pembangunan keretapi di sana.

Isu ECRL sering dibahas dalam perspektif politik dan ekonomi nasional yang diwarnai oleh faktor keterdesakan parti pemerintah untuk merancakkan pembangunan sekaligus meyakinkan pengundi terhadap prestasi mereka. Manakala di pihak pembangkang isu ini cuba diangkat (namun kurang konsisten) dari perspektif kedaulatan negara dan masa depan negara, dengan membawa contoh Sri Lanka sebagai model ketergadaian negara akibat mengambil China sebagai pemaju projek gergasi di sana.

Jika dilihat isu ini dari perspektif China sendiri, ECRL bukan sekadar urusniaga biasa. Bermula tahun 2013 kerajaan China mengambil keputusan untuk menjadi lebih asertif dalam polisi luar mereka, dengan menjadikan keretapi sebagai ‘alat utama’ geoekonomi, yakni sebuah strategi berbentuk ekonomi dengan tujuan sebenar mencapai matlamat strategik dan politik negara di peringkat antarabangsa.

Penglibatan pemimpin tertinggi China

Penglibatan pemimpin-pemimpin tertinggi China seperti Presiden Xi Jinping dan Premier Li Keqiang sendiri sebagai ‘jurujual’ dalam mempromosikan teknologi keretapi dari China ke negara-negara lain (khususnya negara yang terlibat dalam plan ‘Belt and Road’ China) memberi tanda jelas bahawa di sisi China, keretapi yang dibangunkan oleh syarikat milik kerajaan mereka bukan sekadar barang niaga tetapi juga sebagai ‘pujukan ekonomi’ (economic inducement) terhadap negara-negara yang belum sepenuhnya masuk ke dalam lingkungan pengaruh mereka.

Dengan kapasiti kewangan yang besar dan teknologi keretapi yang akhirnya menyamai standard pengeluar lain (seperti Jepun dan Jerman), China tidak teragak-agak untuk menawarkan pakej yang luar biasa lumayan kepada negara lain agar mereka memilih China sebagai pemaju landasan keretapi mereka.

Penggunaan keretapi sebagai ‘pujukan ekonomi’ untuk meraih matlamat politik ini jelas dapat dilihat di negara-negara Asia Tenggara. Dalam kes di Indonesia, nyata terdapat banyak tanda soal dalam pemeteraian urusniaga antara Indonesia dengan China dalam membangunkan projek keretapi laju Jakarta-Bandung. Menteri yang bertanggungjawab memeterai perjanjian tersebut, Rini Soemarno, dilaporkan memeterainya tanpa meneliti sebarang kajian ‘feasibility’ daripada syarikat China, sekaligus menolak ke tepi bidaan syarikat dari Jepun yang sudah melakukan kajian selama 5 tahun di sepanjang ‘route’cadangan. Penerimaan China dilakukan atas sebab China menawarkan pelan pembiayaan projek tanpa perlu sebarang komitmen kewangan dari pihak kerajaan Indonesia.

Begitu juga kes di Laos di mana perjanjian membina sistem pengangkutan keretapi dimeterai bersama kerajaan China dengan jumlah yang besar (USD 6 billion; hampir separuh daripada GDP Laos tahun 2016). China memiliki 70% saham dalam syarikat usahasama China-Laos yang akan membangunkan landasan keretapi di Laos. Berita turut melaporkan mengenai penduduk Laos yang berang dengan lambakan pekerja China yang masuk ke Laos untuk melakukan pembinaan.

Pembinaan landasan-landasan keretapi oleh China di negara-negara Asia Tenggara tidak boleh dilihat secara terpisah. Hampir kesemua projek keretapi yang dibangunkan oleh China di Asia Tenggara ialah untuk memenuhi pelan besar membangunkan rantaian perjalanan atas darat menggunakan keretapi di seluruh tanah besar Asia Tenggara, bermula dari China (Kunming) menuju ke Singapura. Bahkan sudah terbit desas-desus cadangan dari China untuk menyambungkannya sehingga ke Indonesia (dengan pembinaan keretapi bawah tanah dari Semenanjung Malaysia ke Sumatera, bersambung dengan landasan merentasi kepulauan-kepulauan Indonesia.

Keretapi sebagai matlamat strategik China

Penguasaan lingkungan pengaruh China menggunakan ‘alat pujukan ekonomi’ – infrastruktur keretapi – di Asia Tenggara adalah sangat penting kepada beberapa matlamat strategik China.

Yang pertama, penguasaan politik di Asia Tenggara membolehkan China untuk meneruskan projek menuntut Laut Cina Selatan yang sedang dijalankan tanpa sebarang bantahan serius daripada negara-negara yang terlibat. Perubahan status quo di Laut Cina Selatan dianggap sebagai sebuah sasaran strategik oleh Kerajaan China samada untuk tujuan pembinaan kuasa di peringkat global mahupun serantau.

Hal ini berkait rapat dengan kepentingan seterusnya iaitu pemeliharaan keselamatan bekalan minyak untuk China yang datang dari Timur Tengah melalui Selat Melaka dan Laut Cina Selatan. Pembinaan infrastruktur seperti pelabuhan laut dalam dan rangkaian landasan keretapi boleh dianggap sebagai ‘insurans’ yang diambil oleh China, berapa pun harganya, untuk memastikan bekalan minyak China dari Timur Tengah tidak terputus sekiranya Amerika bergerak untuk menyekat laluan-laluan laut di Lautan India, Selat Melaka, dan Laut Cina Selatan.

Kedua-dua ini dianggap mustahak bagi menjamin kepentingan ketiga yang sentiasa menjadi faktor perkiraan dalam keputusan kerajaan China iaitu sejauhmana parti pemerintah (CCP) boleh mengekalkan legitimasi pemerintahan mereka dan menyatukan sokongan rakyat yang berjumlah lebih 1.3 billion orang terhadap parti mereka.

Meskipun majoriti projek keretapi yang melibatkan China di Asia Tenggara baru sahaja hendak bermula, dan mungkin mengambil masa 5-10 tahun akan datang (sekiranya semuanya menjadi) untuk melihat keseluruhan rangkaian keretapi yang dihajati China berfungsi, negara-negara di Asia Tenggara mungkin akan merasai ‘bayarannya’ samada dalam aspek keselamatan, atau kedaulatan, atau ekonomi. Kesemua ini tanpa diragui akan memberikan kesan besar kepada kebebasan kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara dalam menentukan polisi dan mengambil pendirian khususnya dalam isu-isu yang membabitkan China.

Melihat dari pandangan yang lebih optimis, negara-negara di Asia Tenggara masih mempunyai peluang untuk mengelak daripada masa depan yang gelap itu berlaku. Namun syaratnya ialah mereka harus memiliki kekuatan politik dan kebijakan strategi dalam mendepani asakan pelaburan dari China yang sememangnya menggiurkan jika dinilai secara jangka pendek.

Jika negara-negara ini menyedari bahawa penerimaan penglibatan syarikat dan institusi kewangan China tanpa rundingan yang tegas dan ketat akan mengundang malapetaka, negara-negara di Asia Tenggara harus sekurang-kurangnya berdepan dengan China secara cerdik di peringkat nasional (mengetepikan kepentingan politik kepartian di peringkat tempatan), dan kemudiannya membawa isu-isu berkait China secara serius di meja perbincangan ASEAN.

Saya berpandangan dalam situasi yang sedang berlaku di Malaysia berhubung projek ECRL ini, adalah sangat wajar agar pihak kerajaan melakukan moratorium terhadap pelaksanaan projek ini dan membuka semula projek ini kepada pemeriksaan daripada pelbagai pihak khususnya pakar kewangan, pakar perundangan, dan pakar pembinaan. Adalah tidak wajar sekiranya projek ini tetap diteruskan dalam keadaan banyak isu-isu kabur melingkarinya. Parti pemerintah harus sedar bahawa dalam keghairahan mengekalkan kuasa, mereka tidak seharusnya mengorbankan kepentingan negara yang lebih luas dan bersifat jangka panjang kerana di penghujung cerita, jika negara ini ditimpa masalah, mereka adalah orang pertama yang akan menerima tudingan jari.

Oleh:

Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim

COO IRIS INSTITUTE
Pelajar Sarjana Strategi dan Diplomasi IDFR-UKM

(Artikel asal sudah disiarkan terlebih dahulu di laman web Iris Institute)

The post ECRL alat Geoekonomi China appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian