Gaza mula bermandi api

GAZA, 18 Rabiulawal 1439H, Khamis – Beberapa jam selepas Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menggesa dilancarkan intifada terbaharu menentang rejim Zionis, beberapa bandar di Palestin, termasuk Baitulmaqdis mula bermandikan api dan asap.

Ratusan pemuda Palestin mula bangkit memenuhi jalan raya di sekitar Semenanjung Gaza menentang keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan kedutaannya ke bandar suci itu.

Selain melakukan tunjuk perasaan, pemuda Palestin turut membakar tayar dan membaling batu ke arah askar rejim Zionis, dan dibalas dengan tembakan, menyebabkan sekurang-kurangnya 17 penunjuk perasaan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, cedera.

Terdahulu pemimpin utama Hamas, Ismail Haniyeh menggesa rakyat Palestin melancarkan intifada sebagai menentang keputusan Trump itu.

“Polisi Zionis disokong oleh AS tidak boleh ditentang kecuali dengan menyalakan intifada baharu. Keputusan AS adalah satu pencerobohan, perisytiharan perang terhadap kita, terhadap umat Islam dan penganut Kristian di Palestin,” kata Haniyeh dalam ucapannya di Gaza.

Pasukan keselamatan rejim Israel turut menambah anggotanya di Semenanjung Gaza, termasuk di Baitulmaqdis, sebagai persiapan kemungkinan demonstrasi besar-besaran yang dijangka berlaku selepas solat Jumaat, esok.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, juga akan mengadakan sidang tergempar esok, bagi membincangkan situasi di Baitulmaqdis. Sidang itu diminta diadakan oleh Britain dan tujuh daripada 15 anggota Majlis Keselamatan.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 17 penunjuk perasaan cedera selepas askar rejim Zionis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Di Hebron dan Al-Bireh di Tebing Barat, ribuan penunjuk perasaan memenuhi jalan raya sambil melaungkan ‘Baitulmaqdis adalah ibu negara Palestin’. Sesetengah daripada mereka membaling batu ke arah askar Israel.

Seorang penunjuk perasaan cedera terkena tembakan peluru hidup, manakala 14 lagi terkena peluru getah, kata pasukan perubatan.

Di Semenanjung Gaza, penunjuk perasaan berkumpul berhampiran pagar sempadan Israel sambil membaling batu ke arah askar Zionis. Dua daripada mereka cedera parah selepas ditembak menggunakan peluru hidup.

Sementara itu, beberapa jam selepas Trump membuat pengumuman, semua kedutaan Amerika mengeluarkan amaran kepada rakyatnya.

“Pengumuman terbaharu Amerika Syarikat yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan kedutaan ke bandar itu akan mencetuskan tunjuk perasaan, yang sesetengahnya kemungkinan bertukar menjadi ganas,” kata amaran itu.

Penunjuk perasaan juga berkumpul di luar kedutaan AS di Jordan dan pejabat konsulat Amerika di Istanbul, bagi membantah keputusan Trump itu.

Laporan turut menyebut Filipina akan mengikut jejak langkah Amerika mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan kedutaannya ke bandar yang turut menempatkan masjid suci ketiga Islam – Masjidil Aqsa. – Agensi

The post Gaza mula bermandi api appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian