Hamas kutuk kunjungan delegasi Bahrain ke Israel

RAMALLAH, 22 Rabiulawal 1439H, Isnin – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengutuk lawatan empat hari delegasi Bahrain ke Israel, yang bermula semalam.

Lawatan itu kononnya untuk menghantar mesej pendamaian susulan ketegangan berterusan selepas pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump baru-baru ini.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum berkata, lawatan negara itu menunjukkan sikap tidak peduli Bahrain dan kerajaannya terhadap kemarahan negara Palestin, Arab dan Islam berhubung keputusan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara rejim Israel.

Katanya, apatah lagi keadaan ketika ini apabila Israel berterusan melakukan jenayah kemanusiaan terhadap rakyat Palestin dengan apa yang disebut sebagai usaha pembersihan kaum dan tempat suci mereka, Masjid al-Aqsa.

“Kami menganggap lawatan (Bahrain) itu sebagai satu jenayah terhadap rakyat Palestin dan tempat-tempat suci, termasuk tidak mengambil kira perasaan umat Islam, Arab serta penyokong perjuangan rakyat Palestin.

“Ia (lawatan) juga dilihat sebagai ‘lampu hijau’ untuk pendudukan rejim Israel meneruskan lebih banyak jenayah dan pelanggaran terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Fawzi turut menegaskan bahawa pendudukan Israel adalah simbol keganasan, perkauman dan ekstremisme yang perlu diboikot dan didedahkan, berbanding membuat kunjungan atau memuji rejim itu.

“Kami juga menyeru untuk segera menamatkan semua jenis normalisasi dan komunikasi dengan pendudukan Israel daripada mana-mana pihak serta peringkat.

“Kami juga menggesa untuk menggerakkan semua tenaga negara Islam dan Arab menyokong perjuangan Palestin dan rakyatnya,” katanya.

The post Hamas kutuk kunjungan delegasi Bahrain ke Israel appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian