JMM lapor SPRM TMI terima dana asing, TMI lapor polis maklumat SKMM bocor

PUTRAJAYA, 26 Rabiulawal 1439H, Jumaat – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sumber kewangan hampir RM3 juta yang dimasukkan secara tunai ke akaun Syarikat Inside Media Sdn Bhd (Inside Media), pemilik portal The Malaysian Insight (TMI).

Presiden JMM, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, sebagai portal yang dipercayai mempunyai hubungan dengan syarikat yang berpangkalan di luar negara, pihaknya bimbang sumber kewangan itu digunakan untuk menggerakkan operasi portal itu menyerang pemimpin dan kerajaan negara ini.

Beliau berkata, JMM menyerahkan dokumen setebal 12 muka surat mengandungi maklumat pengaliran wang itu serta beberapa informasi lain berkaitan portal bagi membolehkan SPRM memulakan siasatan.

Azwanddin mendakwa kebanyakan aliran masuk wang ke dalam syarikat itu berbentuk tunai, bukannya cek atau invois sepertimana amalan biasa dalam perniagaan.

“Sebab itu, JMM membuat laporan agar hal demikian disiasat,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini.

Azwanddin berkata, JMM mendapat maklumat terkini itu melalui e-mel yang diperoleh daripada portal My Aduan Rasuah, yang dipercayai disalurkan oleh ‘orang dalam’ syarikat itu sendiri.

Beliau mendakwa Inside Media mempunyai kaitan dengan syarikat Asian Inside Pte Ltd yang berpangkalan di Hong Kong, dengan Ketua Pegawai Eksekutif bagi syarikat itu adalah individu yang sama.

Menurut laporan Bernama beliau mendakwa Inside Media menggunakan portal itu sebagai alat untuk menghentam kerajaan serta memaparkan agenda antikerajaan dan siasatan perlu dilakukan atas faktor menerima dana asing dan kemungkinan besar mempunyai elemen rasuah.

Sementara itu media tempatan melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengarang TMI, Jahabar Sadiq, membuat laporan polis, mendakwa maklumat sulit dalam kenyataannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), bocor.

Selasa lalu, Jahabar ke ibu pejabat SKMM di Cyberjaya untuk memberikan kenyataannya berhubung rencana lidah pengarang portal itu yang didakwa kritikal terhadap Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian urus niaga forex Bank Negara Malaysia.

Selain itu, SKMM juga sedang menyiasat sama ada TMI melanggar mana-mana undang-undang dalam laporannya itu yang didakwa menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Jahabar dipetik oleh portal berita tempatan sebagai berkata, beliau mengetahui mengenai kebocoran maklumat itu melalui sebuah artikel yang diterbitkan oleh laman sesawang Malaysian Gazette.

“Saya khuatir bahawa butir-butir peribadi saya dalam dokumen keterangan saya yang dikatakan sulit telah dibocorkan kepada (Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Datuk) Azwanddin (Hamzah) dan orang ramai dalam artikel.

“Saya harap pilhak polis boleh menyiasat bagaimana kebocoran dokumen sulit ini berlaku dan mengambil tindakan yang sesuai kerana perkara ini telah menghakis keyakinan saya kepada SKMM,” kata Jahabar.

Laporan itu dibuat di balai polis Sri Hartamas pagi ini oleh Jahabar yang disertai seorang peguam.

The post JMM lapor SPRM TMI terima dana asing, TMI lapor polis maklumat SKMM bocor appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian